Baharuddin, Azahar dipilih sebagai Ahli Dewan Negara

LocalPolitics
10 Sep 2024 • 12:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rus'sele (dua dari kiri) bersama Baharuddin (kanan) dan Azahar (kiri) yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara di Kompleks DUN Perlis pada Selasa.

KANGAR - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Selasa memilih Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Perlis, Baharuddin Ahmad dan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Azahar Hassan sebagai Ahli Dewan Negara.

Pemilihan Baharuddin, 68, dan Azahar, 54, bagi menggantikan Datuk Aziz Ariffin dan Seruandi Saad yang telah tamat tempoh perkhidmatan mereka pada 25 Ogos lepas.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mencadangkan Baharuddin dan Azahar yang kemudian disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Razali Saad dan ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Terdahulu, Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan berkata, selaras dengan Perkara 45 dan Jadual Ketujuh Perlembagaan Persekutuan, notis pemakluman daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi memaklumkan dua Ahli Dewan Negara yang dilantik DUN Perlis sebelum ini tamat tempoh perkhidmatan pada 25 Ogos 2024.

"Sehubungan dengan itu, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis telah perkenan dan menitahkan DUN Perlis membuat pemilihan bagi mengisi kekosongan tersebut dengan segera,” katanya pada persidangan DUN Perlis di Kompleks DUN di sini pada Selasa.

Baharuddin pernah berkhidmat sebagai Pengurus Negeri Pulau Pinang di Pos Malaysia manakala Azahar ialah seorang pesara guru. - Bernama