
Kota Kinabalu: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), bersama-sama Yayasan Pembangunan Buku Negara, serta sokongan kerajaan negeri Sabah dan Kementerian Pelancongan, seni dan budaya (Motac), akan menganjurkan program Festival Industri Kreatif dan Jelajah Anugerah Telenovela pada 3 November depan.
Presiden Badan itu, Datuk Jasni Matlani berkata, antara pengisian festival berkenaan ialah Persidangan Industri Kreatif yang dikendalikan oleh Badan Bahasa, pameran dan jualan buku serta majlis makan malam yang disekalikan dengan acara penyampaian Anugerah Buku Negara, khususnya melibatkan buku-buku yang dihasilkan dan diterbitkan oleh para penulis Sabah.
“Program seumpamanya adalah yang pertama kali diadakan di Sabah dan turut mendapat sokongan Ketua Menteri Sabah yang mahu melihat industri kreatif negeri ini tidak dianaktirikan oleh pelbagai pihak di negara ini,” kata Jasni dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Sri Gaya, di sini, baru-baru ini.

