Bahasa komited semai bakat penulisan generasi muda

6 Oct 2026 • 4:47 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Bahasa komited semai bakat penulisan generasi muda

RANAU: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) komited terus menyemai bakat penulisan serta memperkukuh penghayatan sastera dalam kalangan generasi muda bermula dari peringkat sekolah.

Presidennya Datuk Jasni Matlani berkata usaha membimbing pelajar sekolah di seluruh Sabah merupakan langkah strategik bagi memastikan kelangsungan serta kelestarian warisan persuratan negara.

Jasni yang juga Ahli Lembaga Perpustakaan Negara Malaysia menegaskan bahawa pendedahan awal kepada bidang penulisan kreatif mampu membentuk pemikiran kritis dan memperkayakan jiwa golongan muda.

“Generasi muda hari ini bukan sahaja perlu menguasai bidang sains dan teknologi malah harus dilengkapkan dengan kemahiran bahasa dan apresiasi sastera yang tinggi.

“Usaha mencungkil dan memupuk bakat baharu ini penting agar dunia penulisan tempatan tidak ketagihan karya luar sebaliknya melahirkan barisan pengarang muda yang mampu menceritakan realiti masyarakat kita sendiri,” katanya selepas program bimbingan penulisan kreatif yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau pada Isnin.

Program anjuran Bahasa itu menghimpunkan 60 pelajar tingkatan atas dari sekolah itu bagi mendedahkan mereka kepada asas serta teknik penulisan sastera yang berkesan.

Jasni menjelaskan bahawa sastera memainkan peranan yang mendalam dalam membentuk sahsiah, jati diri dan keperibadian mulia dalam diri setiap individu, terutamanya pelajar yang sedang mencari arah tuju kehidupan.

Mengulas lanjut beliau berkata Bahasa akan meneruskan siri jelajah dan bengkel penulisan sedemikian ke pelbagai daerah lain di Sabah.

Beliau menyifatkan pendekatan secara langsung di peringkat sekolah sebagai pelaburan jangka panjang dalam melahirkan bakal sasterawan dan ilmuwan yang berwibawa pada masa hadapan.

Sehubungan itu Jasni berharap pihak sekolah dan guru terus memberikan sokongan padu terhadap kelab serta aktiviti bahasa dan sastera di premis masing-masing.

Turut hadir, Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Ranau Jailey Paidi; guru akademik dan guru sastera Tingkatan 6 Mawarni Abd Latif; Timbalan Presiden Bahasa Abd Karim Gullam serta Ahli Jawatankuasa Bahasa Dr Aisyah Mat Saad dan James Taling.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved