IYC terus perkasa peranan belia

22 Sep 2026 • 4:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: IYC terus perkasa peranan belia

PETALING JAYA – Selepas 38 tahun penubuhannya, Yayasan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) mahu terus memperkukuh peranan sebagai penghubung antara golongan belia, komuniti dan rakan strategik dalam memastikan pembangunan generasi muda kekal relevan dengan keperluan semasa.

Komitmen itu diterjemahkan menerusi Hari Terbuka IYC 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-38 yayasan berkenaan di Bandar Tun Razak yang menghimpunkan pelbagai program merangkumi kerjaya, kesihatan, pendidikan, teknologi, sukan, rekreasi dan ekonomi komuniti, hari ini.

Menurut IYC, sambutan tersebut bukan semata-mata memperingati perjalanan hampir empat dekad organisasi itu, sebaliknya menjadi medan mendekatkan perkhidmatan serta peluang pembangunan kepada golongan belia dan masyarakat setempat.

“Sambutan ulang tahun ke-38 ini bukan sekadar meraikan perjalanan sebuah institusi, tetapi turut mencerminkan komitmen IYC untuk terus relevan, responsif dan berorientasikan impak dalam memenuhi keperluan generasi muda dan masyarakat,” menurut kenyataan IYC.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik Parlimen Bandar Tun Razak, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Majlis Belia Malaysia (MBM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Majlis Belia Bandar Tun Razak dan MARIGOLD, selain sokongan pelbagai agensi, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara tarikan disediakan adalah Mini Karnival Kerjaya PERKESO, Kaunter JPJ Mobile, saringan pergigian dan mata, Jualan Rahmah serta Program Tukar Minyak Hitam Motosikal Percuma yang memberi manfaat secara langsung kepada pengunjung dan komuniti sekitar.

Golongan muda pula diberi ruang menyerlahkan potensi menerusi IYC’s Got Talent 2026, kejohanan catur, Mini Bouldering, Vibes@TikTok dan E-Sport, selain pendedahan terhadap teknologi menerusi Soccer Drone dan Soccer Robot serta beberapa aktiviti kekeluargaan.

IYC menjelaskan pendekatan tersebut bukan hanya menyediakan aktiviti rekreasi, malah bertujuan menggalakkan kreativiti, keyakinan diri, kepimpinan, semangat kesukanan serta interaksi positif dalam kalangan generasi muda.

“Kekuatan sebenar sesebuah institusi terletak pada keupayaannya untuk menghubungkan manusia, membuka peluang dan mencipta impak. Justeru, IYC akan terus memainkan peranan sebagai platform yang menghubungkan belia, komuniti dan rakan strategik dalam membina masa depan lebih inklusif, progresif dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.

Seiring perubahan landskap pembangunan belia, IYC akan terus memperkukuh program, kemudahan, jaringan strategik serta kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa bagi melahirkan generasi muda berilmu, berkemahiran, kreatif, berdaya tahan, berkeyakinan dan berdaya saing. KOSMO! ONLINE

The post IYC terus perkasa peranan belia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved