
Kota Kinabalu: Bahasa Melayu mesti terus dipertahankan sebagai bahasa kebangsaan kerana ia berperanan sebagai lambang identiti, wadah perpaduan dan simbol kemajuan negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata meskipun Sabah mempunyai lebih 30 kumpulan etnik dan 217 sub-etnik yang menuturkan lebih 80 dialek, bahasa kebangsaan tetap menjadi tonggak utama penyatuan rakyat.
“Bahasa kebangsaan mengukuhkan hubungan antara etnik, memupuk rasa kebersamaan dan mengangkat simbol keamanan serta pembangunan negara bangsa.
“Seperti kata Pendeta Za’ba, bahasa adalah asas sebuah negara merdeka – hilang bahasa, hilanglah bangsa,” katanya ketika merasmikan penutupan Pertandingan Forum Pelajar Kebangsaan 2025 di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok, Rabu.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.
Hajiji berkata cabaran daripada pengaruh bahasa asing dan penggunaan bahasa rojak tidak seharusnya melemahkan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.
Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mesti terus disokong agar generasi muda dapat menguasai kedua-dua bahasa secara seimbang.
“Jepun adalah contoh negara yang berjaya mengekalkan bahasa mereka dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. Kita juga mesti mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan kemajuan,” katanya.
Beliau berkata Pertandingan Forum Pelajar yang telah dianjurkan lebih tiga dekad ity berjaya melahirkan ribuan pelajar, khususnya dari Sekolah Menengah Persendirian Cina, yang mampu berbahas menggunakan bahasa Melayu dengan baik.
“Sepanjang 33 tahun, pertandingan ini membuktikan komitmen luar biasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), komuniti sekolah, pelajar dan guru yang sentiasa menyokong penuh. Inilah gelanggang membina keyakinan diri, semangat berpasukan dan kreativiti pelajar,” katanya.
Beliau percaya program ini penting dalam melahirkan pemimpin masa depan negara termasuk dalam kalangan pelajar Sabah.
Hajiji turut menyifatkan pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sebagai satu penghormatan besar, khususnya bagi pelajar sekolah Cina di negeri ini untuk menimba ilmu daripada peserta lain yang bertanding.
Pertandingan tahun ini menyaksikan SM Kian Kok, Kota Kinabalu muncul juara, tempat kedua dimenangi SM Chung Hua 1 Kuching, Sarawak manakala tempat ketiga diraih SM Poi Lam, Ipoh, Perak.
Amanda Yeo Zi Qi dari SM Kian Kok dinobatkan sebagai Pengerusi Terbaik, manakala Lee Zi Qian dari SM Foon Yew, Kulai, Johor memenangi Panelis Terbaik.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari dan Timbalan Pengerusi Dong Zong Datuk Au Kam Wah.



