Bahayakan penunggang motosikal di Jambatan P.Pinang, suami isteri didenda RM2,500

9 Feb 2024 • 4:42 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini mendenda sepasang suami isteri RM2,500 setiap seorang, kerana menakutkan dua individu dengan melibas seutas tali ke arah mereka di Jambatan Pulau Pinang seperti dalam video tular di media sosial.

Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 50, dan isterinya Ong Ser Ting, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, yang turut memerintahkan mereka dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mereka didakwa bersama-sama telah menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Faizul Mat Zain dan Mohd Syadid Sulaiman, di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari arah Pulau ke Perai pada 5 petang, 5 Feb lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syakila Dahari, manakala kedua-dua tertuduh yang merupakan peniaga mi, tidak diwakili peguam.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris berkata penunggang dan pembonceng sebuah motosikal yang didakwa mengganggu penunggang lain di Jambatan Pulau Pinang arah Seberang Perai telah diberkas, susulan satu video yang tular di media sosial yang memaparkan tindakan pasangan berkenaan yang menakutkan beberapa penunggang.

Video tular yang dimuat naik di akaun Facebook Faizul Jojoe itu, memaparkan pembonceng wanita membaling sesuatu objek dipercayai pasir, melibas seutas tali berwarna hitam dan cuba menendang penunggang motosikal yang ingin memotong motosikalnya. -Bernama