BAIAC, CGPV bekerjasama buka platform timbang tara antarabangsa di Forest City

28/04/2025 - 17:55
Steve Ngo (kiri) dan Kevin Li (kanan) menunjukkan dokumen selepas pemeteraian memorandum persefahaman bagi penubuhan pusat timbang tara antarabangsa di Forest City, Johor. Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 28 April — Beihai Asia International Arbitration Center (BAIAC) dan Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) membentuk kerjasama dalam mewujudkan platform timbang tara yang bertaraf antarabangsa di Forest City, Johor.
Perkongsian terbaharu itu mencerminkan visi bersama kedua-dua pihak untuk mempromosikan proses perantaraan global sebagai kaedah pilihan untuk penyelesaian pertikaian rentas sempadan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Ia yang dinamakan FCSFZ–BAIAC International ADR Platform ditempatkan di Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) bakal meningkatkan status kedudukan kawasan itu sebagai hab perniagaan dan pelaburan antarabangsa yang semakin berkembang.
Presiden BAIAC, Profesor Steve Ngo berkata, kerjasama dua pihak tersebut mewakili satu langkah ke hadapan dalam usaha mengukuhkan infrastruktur rumusan pertikaian komersial dengan standard antarabangsa di rantau Asia Tenggara.
"Penubuhan platform ini dijangka meningkatkan aspek hubungan perdagangan yang kukuh antara Singapura dan negeri Johor, malah kami berbangga dapat bekerjasama dengan CGPV menghidupkan visi ini di Forest City," katanya dalam satu kenyataan bersama.
BAIAC, yang beribu pejabat di Singapura, merupakan pusat timbang tara serantau dengan sering menawarkan perkhidmatan dan pengantaraan cekap serta neutral menerusi tumpuan utama kepada Asia, termasuk hubungan China-ASEAN.
Melalui pemeteraian rasmi memorandum persefahaman itu, BAIAC kata Steve, akan menyokong usaha penyediaan platform dengan kepakarannya dalam timbang tara dan pengantaraan, serta menawarkan pengurangan bayaran untuk kes yang dijalankan di FCSFZ.
Firma berkenaan turut membantu dalam mempromosikan platform melalui rangkaiannya manakala CGPV, ialah pemaju induk Forest City menerajui transformasi kawasan itu menjadi zon ekonomi rancak untuk kewangan, perdagangan, pendidikan dan pelancongan.
Ia juga akan berperanan dalam menyediakan sokongan dari segi logistik dan promosi, termasuk aspek kemudahan, penginapan dan keterlihatan untuk platform dalam Forest City.
Kedua-dua pihak juga bakal bekerjasama dalam acara seperti persidangan, bengkel dan seminar untuk mempromosikan amalan penyelesaian pertikaian antarabangsa di rantau ASEAN.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan CGPV, Kevin Li Geng berkata, pihaknya percaya melalui perkongsian tersebut akan terus meletakkan Forest City sebagai destinasi utama untuk perniagaan dan pelaburan antarabangsa.
"Kami bersedia menawarkan pilihan kepada rumusan pertikaian yang mudah diakses dan boleh dipercayai serta akan memberi manfaat besar kepada komuniti dan pihak berkepentingan kami," katanya.
Di Malaysia, BAIAC Arbitration Mediation PLT juga telah ditubuhkan baru-baru ini diketuai Dr Liew Eng Seong dan entiti baharu itu akan memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti BAIAC di Johor, selaras dengan kerjasama antara BAIAC dan FCSFZ.
Penubuhannya itu menandakan satu lagi langkah penting dalam mengembangkan kehadiran serantau BAIAC dan mengukuhkan kerjasama institusi dalam rumusan pertikaian alternatif di seluruh Asia Tenggara. - DagangNews.com
standard
