
LONDON: Marcus Rashford perlu memperbaiki prestasi dan menajamkan penyudahnya jika mahu kekal bersama Manchester United pada musim ini.
Legenda United, Wayne Rooney berkata, perubahan itu perlukan dilakukan Rashford bagi memikat semula minat pengendali The Red Devils, Michael Carrick.
Selain itu, Rooney juga menggesa United mendapatkan empat pemain tambahan biarpun sudah mendapatkan Andrey Santos, Youri Tielemans dan Karl Darlow musim ini.
United mempunyai masa sehingga 1 September untuk menyelesaikan urusan perpindahan mereka dan Rooney mencadangkan empat posisi yang menurutnya perlu diperkuatkan kelab itu sebelum tarikh akhir berkenaan.
Rooney menyenaraikan pemain Arsenal, Myles Lewis-Skelly sebagai calon yang berpotensi menjadi tambahan bernilai, selain mencadang tiga lagi bahagian di atas padang yang dirasakan perlu diperkukuhkan.
“Saya fikir Luke Shaw mempunyai musim yang sangat baik musim lalu, tetapi dia tidak memberikan persembahan terbaik ketika menentang AC Milan. Jadi, saya tidak fikir anda boleh bergantung kepada Shaw.
“Ia membawa saya kepada Lewis-Skelly dan kami mendengar bahawa dia boleh diperoleh dengan harga yang tidak terlalu tinggi. Pada saya, ia memang satu keputusan yang tidak perlu difikir panjang.
“Jika anda boleh mendapatkan pemain yang boleh bermain sebagai bek kiri dan juga di bahagian tengah. Dia masih muda, mempunyai masa depan yang sangat cerah. Saya fikir ia memang satu keputusan yang tidak perlu difikir panjang jika anda boleh membawanya masuk.
“Saya mahu melihat seorang lagi pertahanan tengah, seorang lagi pemain tengah dan seorang penyerang tengah.
“Jadi, saya fikir masih banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi saya berasa sangat penting pemain yang mereka bawa masuk itu adalah pemain yang tepat dan membuat pilihan yang betul,” katanya.
Rooney kemudian melontarkan pesanan kepada Rashford yang kembali ke United pada musim panas ini selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama Barcelona.
Rashford masuk sebagai pemain gantian ketika United tewas dalam perlawanan persahabatan kepada AC Milan hujung minggu lalu dan masih belum jelas sama ada pemain antarabangsa England itu akan kekal di Old Trafford selepas musim panas ini.
“Saya fikir kita tahu dia (Rashford) mempunyai kemampuan, dia sudah menunjukkannya. Bagi saya, adakah dia mempunyai keinginan? Adakah dia mahu bermain untuk United?
“Sekarang, jika dia mahu bermain untuk United, saya pernah lalui situasi itu pada 2010 apabila saya minta untuk meninggalkan kelab. Ada satu peringkat di mana anda perlu membina semula hubungan dengan penyokong.
“Jadi, mungkin itu satu perkara yang perlu diusahakannya. Dia mungkin perlu bekerjasama dengan seseorang untuk menjadikan bahasa tubuhnya kelihatan lebih baik. Saya fikir kadar kerjanya perlu dipertingkatkan dan dia hanya perlu fokus dan bekerja keras,” katanya. – AGENSI/UTUSAN
The post Baiki prestasi jika mahu pikat Carrick appeared first on Utusan Malaysia.


