
DI sebalik dinding sebuah rumah yang pernah lumpuh ditenggelami air banjir, tersimpan satu kisah tentang ketabahan yang tidak pernah pudar.
Bagi sesetengah orang, rumah hanyalah tempat berteduh. Namun bagi bekas vokalis kumpulan rock Rusty Blade dan May, Yantzen Juniwan, 68, kediaman itu adalah ruang memori, perjuangan dan cinta yang dibina sedikit demi sedikit, walaupun berkali-kali diuji oleh takdir.
Lebih lima tahun selepas banjir besar yang meranapkan hampir keseluruhan isi rumahnya, Yantzen masih setia memegang prinsip untuk tidak menyerah kalah.
Setiap retak dinding, setiap perabot yang rosak, semuanya menjadi 'projek kehidupan' yang diperbaiki dengan tangan sendiri, tanpa mengharapkan keajaiban datang semula.
“Saya buat sendiri seperti baiki sofa, almari, dinding yang rosak serta pasang barang yang perlu. Saya bukanlah belajar secara formal, tapi saya mempunyai minat yang mendalam dalam reka bentuk rumah,” katanya yang tetap tenang meskipun jelas perjalanan itu bukan mudah.
Nada suaranya tidak menggambarkan keluhan. Sebaliknya, ia seperti seorang seniman yang sedang menyiapkan karya yang belum siap, perlahan, teliti dan penuh rasa.
Rumah yang terletak di Taman Sungai Serai Tambahan, Batu 12, Hulu Langat itu dibina dengan kos kira-kira RM130,000 dan siap dalam tempoh hanya tiga bulan oleh pekerja. Namun, bagi Yantzen, sentuhan sebenar rumah itu datang daripada idea dan lakarannya sendiri.

“Rumah ini ada empat bilik dan ada loteng khas sebagai tempat untuk saya mengasingkan diri untuk bertafakur. Hiasan dalaman juga dari idea saya sendiri,” ujarnya kepada Harian Metro.
Bagi Yantzen, setiap sudut rumah itu bukan sekadar struktur kayu dan simen. Ia adalah gambaran fikirannya yang diterjemah menjadi ruang hidup. Ada lakaran khas yang disimpan rapi, menjadi panduan sejak awal pembinaan lagi—sesuatu yang membuatkan rumah itu benar-benar miliknya secara jiwa, bukan sekadar pemilikan di atas kertas.
Diuji banjir
Namun, perjalanan membaiki semula rumah ini tidak pernah berjalan lancar. Faktor usia, kewangan dan kesihatan yang semakin merosot kadangkala memperlahankan usaha yang dilakukan seorang diri.
“Namun saya tak mudah putus asa untuk menyempurnakan semula rumah ini. Saya bersyukur kerana ada beberapa perabot yang dibawa dari Indonesia tak terjejas banjir,” katanya.
Di sebalik kesederhanaan hidupnya hari ini, Yantzen tetap memegang nilai ketelitian dalam setiap kerja yang dilakukan. Malah, sebahagian perabot di rumah itu dihasilkan berdasarkan ukuran dan reka bentuk yang direka sendiri sebelum ditempah dari bengkel milik keluarga di Indonesia.
“Ukuran dan reka bentuk semua dari saya dan lepas itu saya tempah dari bapa saudara yang ada kilang di sana. Kayunya memang berkualiti dan tahan lama.
"Mana yang sudah tak boleh baiki, saya buanglah. Cuma makan masa sikit sebab saya buat seorang diri tanpa bantuan sesiapa,” jelasnya.
Walaupun pernah menerima cadangan untuk berpindah dan menjual rumah tersebut, termasuk daripada bekas isterinya, Yantzen memilih untuk kekal.
“Saya kata tak mahulah. Mungkin benda ini pun pengajaran buat kita untuk hidup di dunia macam mana kan. Jadi tak apalah, saya sayang rumah ini,” katanya sambil tersenyum ringkas.
Bagi Yantzen, rumah itu bukan sekadar tempat tinggal, tetapi juga amanah yang ingin ditinggalkan untuk anaknya, Alif Ronan.
“Rumah ini pun sebenarnya dibina khas untuk anak lelaki saya, Alif Ronan. Biliknya dengan isteri pun ada di rumah ini. Sekiranya saya sudah tiada, rumah ini jadi miliknya. Kalau dia terdesak sangat terpulang kepadanya jika nak jual, tapi bagi saya, komuniti di sini sangat bagus,” katanya.
Apa yang lebih menyentuh, rumah yang pernah diuji banjir itu turut menjadi saksi keprihatinan komuniti sekeliling.
“Macam suasana semasa banjir dulu, 24 jam mereka datang hantar barang dan pakaian. Ada juga yang hantar makanan,” katanya mengimbau kembali detik yang tidak mudah dilupakan.
Di sebalik perjalanan seni yang pernah melonjakkan namanya menerusi lagu Tiada Lagi Aku, Yantzen kini lebih dikenali dengan satu perkara yang lebih kekal, keteguhan hati seorang lelaki yang membina semula kehidupannya, bukan dengan kemewahan, tetapi dengan kesabaran yang tidak pernah runtuh walau diuji arus kehidupan.

