
NARATHIWAT (THAILAND): Baja subsidi di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) yang dibekalkan oleh anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dikesan dijadikan bahan untuk menghasilkan bom buatan sendiri (IED) oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand.
Ia selepas pihak berkuasa Thailand merampas kira-kira 520 kilogram baja urea tersebut dalam satu operasi di Mukim Koh Sathon, Tak Bai di sini pada Jumaat lalu.
Menerusi gambar yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia, terpapar lambang Persekutuan Malaysia dan tulisan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan selain logo anak syarikat Nafas tersebut di guni baja yang dirampas.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pihak berkuasa menemukan 26 guni baja urea dari Malaysia.
Dalam operasi pukul pukul 10.16 pagi itu, seorang suspek berusia dalam lingkungan 40-an turut ditahan semasa sedang membawa baja tersebut menggunakan motosikal roda tiga.
“Setiap guni baja itu seberat 20 kilogram. Semakan mendapati suspek sebelum ini pernah ditahan untuk soal siasat berkaitan kes keselamatan pada 2012.
“Kami percaya baja urea tersebut akan digunakan oleh kumpulan pemisah sebagai salah satu komponen membuat IED,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sumber itu berkata, operasi tersebut sekali gus berjaya menghalang insiden lebih serius daripada berlaku khususnya ketika wilayah Selatan Thailand berdepan puluhan siri serangan dan letupan bom kebelakangan ini.
Pada 31 Oktober tahun lalu, akhbar ini pernah melaporkan pihak berkuasa Thailand mendedahkan baja urea antara bahan yang digunakan untuk membuat bom dalam insiden letupan di Selatan Thai.
Pengarah Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok ketika itu berkata, hasil soal siasat terhadap beberapa individu yang ditahan mendapati baja urea itu dibawa masuk dari negara jiran.
Dalam pada itu hasil semakan akhbar ini, SBPKP telah diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1979 dengan nama asalnya Skim Subsidi Baja Padi (SSBP).
Bagaimanapun pada 8 Oktober 1997, perkataan ‘subsidi’ digantikan dengan perkataan ‘bantuan’ dan skim ini kemudiannya dikenali sebagai SBPKP. Ia diperkenalkan untuk memberi galakan dan menarik minat kaum petani supaya kekal di sektor penanaman padi.
Sementara itu, individu atau sindiket yang membekalkan baja urea ke Thailand mampu meraih keuntungan sehingga sekali ganda.
Menurut sumber pesawah kepada Utusan Malaysia, aktiviti pembekalan baja tersebut untuk tujuan dijadikan komponen IED sememangnya wujud.
Katanya, individu yang menjual baja ke Thailand mendapatkan bekalan secara borong di Malaysia yang kemudian dipeket semula seterusnya dibekalkan ke negara jiran itu dengan harga yang jauh lebih tinggi.
“Mereka membeli baja dengan kuantiti yang banyak pada harga RM2,450 bagi satu tan metrik dan dijual ke Thailand dengan harga sekitar RM5,700 per tan metrik.
“Bagi satu tan metrik, mereka meraih keuntungan lebih RM3,000 dan jumlah dihantar selalunya dalam jumlah yang banyak sehingga berpuluh tan metrik,” katanya.
Katanya, aktiviti pembekalan baja berkenaan dikesan sejak setahun lalu dengan jualan ke negara jiran itu adalah lebih menguntungkan.
Ujarnya, pembekalan baja berkenaan dipercayai sekali masuk ke Thailand adalah sebanyak 10 tan metrik.
“Pembekalan baja berkenaan ke Thailand sekali gus turut memberi kesan kepada keperluan baja di Malaysia selain berlaku peningkatan harga.
“Selalunya baja berkenaan dibawa masuk menggunakan lori atau diseludup melalui jalan sungai di sempadan sebelah pantai timur. Baja urea mendapat permintaan tinggi di Thailand untuk pembuatan bom tersebut. Diharapkan pihak berwajib memantau aktiviti berkenaan,” katanya.-UTUSAN
The post Baja subsidi diguna buat bom di Selatan Thailand appeared first on Utusan Malaysia.






