Baju pelajar koyak dakwa perbuatan buli, Pengerusi MARA ingatkan 'you touch, you go'

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 6:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Baju pelajar koyak dakwa perbuatan buli, Pengerusi MARA ingatkan 'you touch, you go'
Hantaran @aynashfqh mendapat respons daripada Asyraf Wajdi.

SHAH ALAM – Dakwaan kes buli melibatkan seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tular di media sosial selepas seorang pengguna Threads berkongsi keadaan pakaian adiknya yang koyak dan rosak dipercayai akibat perbuatan buli.

Menerusi hantaran tersebut, individu menggunakan akaun @aynashfqh mendakwa, adiknya yang baru memasuki Tingkatan Satu menjadi mangsa buli sehingga pakaian sekolah rosak selain barangan lain turut terjejas.

Menurutnya, insiden tersebut bukan sahaja melibatkan uniform sekolah, tetapi buku, kasut bola dan cadar turut diconteng serta lokar dirosakkan.

"Selalu dengar orang lain kena buli. Sekali kena dekat adik sendiri. Ayah beli baju guna duit, bukan guna tisu.

"Baru Tingkatan 1 sudah tunjuk garing, sekolah mana tak mahu 'mention'," katanya.

Individu tersebut turut memaklumkan, adiknya kini mengalami tekanan emosi, namun masih berhasrat meneruskan pembelajaran di sekolah itu meskipun sudah empat bulan berdepan situasi tersebut.

Menurutnya, keluarga juga sudah bertemu kaunselor sekolah, namun dimaklumkan kes masih dalam siasatan dan setakat ini gangguan masih berterusan.

"Kami tiada niat untuk viralkan perkara ini, tetapi mohon pihak berkaitan bantu selesaikan kes ini," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil memberi respons tegas berhubung dakwaan tersebut.

"MRSM mana ini? Bagi maklumat pada saya. Tiada kompromi dengan perbuatan buli seperti ini. You touch, you go,” katanya menerusi ruangan balas hantaran berkenaan.

Beliau turut menegaskan pendirian Mara yang tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli dalam institusi di bawah seliaannya.