SETIAP kali menjelang Aidilfitri, satu topik yang tidak pernah gagal mencuri perhatian ialah soal baju raya. Ada yang sanggup berbelanja ratusan ringgit demi mendapatkan pakaian berjenama dan eksklusif.
Ada pula yang lebih selesa memilih baju sederhana dengan harga jauh lebih mesra poket. Bagi Merak Jalanan, itu semua soal pilihan dan ikutlah kemampuan masing-masing.
Merak Jalanan perhatikan ramai juga tahun ini yang berkongsi pilihan baju raya pada harga mampu milik, malah ada yang bawah RM100 tetapi tetap kelihatan cantik, bergaya dan nampak 'mahal'.
Asalkan tahu memilih warna, potongan dan cara memadankan dengan aksesori yang betul, hasilnya tetap menyerlah di pagi Syawal. Kadang-kadang yang membuatkan seseorang itu nampak ‘mahal’ bukan pakaiannya tetapi cara dia membawa diri.
Merak Jalanan bukanlah mahu mempersoalkan sesiapa yang gemar berbelanja lebih untuk pakaian raya. Jika mampu, teruskan sahaja tetapi dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar ketika ini, memilih jalan sederhana adalah satu tindakan bijak.
Lebih-lebih lagi apabila kos sara hidup semakin meningkat, setiap perbelanjaan wajar difikirkan dengan lebih teliti, bukan sekadar ikut trend semasa.
Lagipun, baju raya yang mahal belum tentu dipakai berkali-kali. Ada yang hanya muncul setahun sekali atau digayakan pada majlis-majlis tertentu dan kemudian ia akan berehat panjang di dalam almari.
Sebab itu, berbelanja secara lebih praktikal adalah lebih baik. Wang selebihnya boleh digunakan untuk perkara lain seperti persiapan rumah, juadah raya atau keperluan keluarga yang lebih mendesak.



