Bakal Akhiri Zaman Bujang, Penyokong Ucap Tahniah Kepada Safawi

28 Nov 2022 • 2:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Meskipun Safawi dan Syifa selesa 'mengunci mulut' mengenai hari terpenting mereka, namun pengaruh media sosial masa kini membuatkan semuanya sukar disembunyikan - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Instagram milik pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dihujani ucapan tahniah daripada penyokong bola sepak tempatan susulan hantaran 'Bismillahirrahmanirrahim' dikongsinya hari ini.

Walaupun hantaran tersebut tidak disertakan dengan sebarang kapsyen, ia seakan memberi petunjuk mengenai berita pernikahannya bersama pempengaruh, Syifa Melvin, 28.

Khabar angin itu dikuatkan lagi dengan reaksi Syifa yang turut meninggalkan komen hati berwarna merah pada hantaran Safawi.

Tidak ketinggalan, selebriti Lia Natalia meninggalkan komen ‘Alhamdulillah’ dan Saiful Zero yang meninggalkan komen sama, ‘Alhamdulillah, mantap bossku, bossmu bossnya’.

Dalam pada itu, Instagram ekorharimaumalaya.my juga mengucapkan tahniah kepada Safawi selain mendoakan urusan pernikahannya berjalan lancar.

Ruangan komen Instagram Safawi turut dimeriahkan dengan komen seorang penyokong yang sempat berseloroh ‘Safawi finally scored’.

Selain itu, seorang lagi penyokongnya, Mummyiesya pula menulis 'semoga dipermudahkan segalanya. Harap lepas kahwin jadi lagi power bro'.

Dalam pada itu, menerusi video dengan kapsyen 'Malam Berinai Syifa Melvin & Safawi Rasid' yang berdurasi 13 saat daripada akaun Tik Tok, miamia_mia1, kedua-dua bakal pengantin tersenyum menunjukkan tangan mereka yang siap berinai.

Meskipun kedua-duanya selesa 'mengunci mulut' mengenai hari terpenting mereka, namun pengaruh media sosial masa kini membuatkan semuanya sukar disembunyikan.

Terdahulu, kad undangan majlis perkahwinan mereka yang akan berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya pada jam 7 malam sehingga 11 malam ini, bertemakan pakaian serba putih dan menutup aurat turut tersebar di media sosial.

Malah sebelum itu, majlis perkahwinan yang dikhabarkan semakin hampir juga sudah dihidu lebih awal oleh penyokong JDT apabila Safawi dikejutkan dengan nyanyian lagu 'Selamat Pengantin Baru' di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, baru-baru ini.  

Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, Safawi yang berada di tepi padang selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2022 di antara pasukan JDT dan Sabah FC dikejutkan dengan nyanyian lagu terbabit. 

Video berdurasi 20 saat itu memperlihatkan Safawi mengangkat tangan seperti mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya, sekali gus membuatkan seluruh stadium bergema. 

Tidak hanya itu, kelibat Safawi sebagai tonggak utama JDT juga tidak muncul dalam barisan pemain skuad Harimau Selatan itu pada final Piala Malaysia menentang pasukan Selangor, malam kelmarin. - Getaran, 28 November 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved