Bakal Menghadap Sultan Petang Ini, Amirudin Kekal MB Selangor?

Politics
17 Aug 2023 • 1:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Datuk Seri Amirudin Shari dijadualkan mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada jam 2.30 petang ini. gambar fail

KUALA LUMPUR - Teka-teki mengenai penyandang portfolio Menteri Besar Selangor dijangka terjawab hari ini.

Sumber memberitahu Getaran, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar sementara dijadualkan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada jam 2.30 petang nanti.

Menurut sumber, pertemuan terbabit dipercayai berkait rapat dengan soal pelantikan Menteri Besar, susulan kejayaan Pakatan Harapan mengekalkan pegangan ke atas negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

“Memang beliau (Amirudin) dicalonkan semula. Semua (pimpinan parti) bersetuju,” katanya.

Sumber terbabit yang juga antara kepimpinan tertinggi parti memberitahu, PKR menyerahkan tiga nama untuk mengisi portfolio berkenaan seperti diminta pihak Istana, namun keutamaan tetap ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu. 
 
“Tak timbul isu melobi atau cantas seperti yang berlegar di media beberapa hari ini.

“Amirudin juga diminta membawa bersama senarai nama untuk mengisi portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang baharu,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau, senarai tersebut turut mencakupi calon simpanan, jika ada.

Getaran juga diberitahu, istiadat mengangkat sumpah jawatan berkemungkinan besar akan diadakan pada Isnin depan.

“Insya Allah, istiadat mengangkat sumpah (diadakan) 21 Ogos nanti,” katanya.

Difahamkan, ADUN Seri Setia, Dr Fahmi Ngah ialah antara nama yang turut diserahkan untuk perhatian pihak Istana.

Turut tersenarai ialah ADUN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah. - Getaran, 17 Ogos 2023