Myanmar bersedia menerima semula rakyatnya yang dihantar pulang dalam jumlah besar dengan kos ditanggung sendiri, termasuk kira-kira 3,000 hingga 4,000 warganegaranya yang kini ditempatkan di depoh imigresen Malaysia.
Myanmar sedia terima semula rakyatnya
Memetik laporan daripada Berita RTM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, sehingga kini seramai 10,493 tahanan Myanmar sudah dihantar pulang melalui penerbangan dan kapal tentera laut.
Beliau menjelaskan, Myanmar turut bersedia menerima semula rakyatnya yang masih berada di Malaysia, tertakluk kepada semakan rekod serta pematuhan terhadap peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
“Sehingga kini, 10,493 warga dan tahanan Myanmar sudah dibawa pulang melalui penerbangan dan kapal tentera laut dan terima kasih kepada tentera laut kita atas kerjasama itu.
“Anda (Min Aung Hlaing) menyatakan bahawa mereka yang berada di depot, antara 3,000 hingga 4,000 orang akan dihantar pulang dan sesiapa yang dapat disahkan berasal dari Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra, hari ini.

Foto: PMO
Myanmar tunjuk kesediaan tinggi terima rakyatnya semula
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, berdasarkan pengalamannya, Myanmar antara negara yang menunjukkan kesediaan tinggi untuk menerima semula rakyatnya dalam jumlah besar, termasuk menanggung sendiri kos penghantaran pulang.
“Anda juga menyatakan bahawa mereka yang masih berada di sini, tertakluk kepada rekod yang ada, akan dirundingkan selanjutnya oleh Kementerian Dalam Negeri bersama rakan sejawatnya.
“Anda bersedia menerima mereka mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan. Justeru, sebagai sebuah kerajaan, sudah tentu kami perlu merakamkan penghargaan,” katanya.

Foto: PMO
Beliau menambah proses pengesahan identiti, semakan rekod jenayah serta rekod berkaitan perlu dilaksanakan terhadap individu terbabit mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
Langkah itu penting bagi memastikan urusan penghantaran pulang dapat dilaksanakan secara teratur melalui kerjasama antara kedua-dua negara.
Sumber: Berita RTM




