
PUTRAJAYA: Myanmar bersedia meneruskan program repatriasi rakyatnya termasuk sekitar 3,000 hingga 4,000 individu yang masih berada di depot, dengan kerajaan negara itu sanggup menanggung kos penghantaran pulang dalam jumlah yang besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan pengalamannya, sangat sedikit malah hampir tiada negara yang sanggup menerima proses repatriasi rakyat mereka dalam jumlah yang besar dengan menanggung kos sendiri seperti yang telah ditunjukkan oleh Myanmar.
“Isu kedua yang menjadi kebimbangan ialah repatriasi rakyat Myanmar.
“Ramai antara kita mungkin tidak menyedari bahawa sangat sedikit, malah berdasarkan pengalaman saya, hampir tiada negara yang sanggup menerima proses repatriasi rakyat mereka dalam jumlah yang besar dengan menanggung kos sendiri seperti yang telah ditunjukkan oleh Myanmar.
“Justeru, sebagai sebuah kerajaan, sudah tentu kami perlu merakamkan penghargaan,” katanya ketika sidang akhbar bersama Presiden Myanmar,
Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Anwar berkata, sehingga kini seramai 10,493 warga Myanmar telah dibawa pulang melalui penerbangan dan kapal tentera laut, selain merakamkan penghargaan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas kerjasama dalam proses berkenaan.
Menurut beliau, kerajaan Myanmar turut menyatakan kesediaan menerima rakyatnya yang masih berada di Malaysia, tertakluk kepada rekod yang ada serta perbincangan dan rundingan lanjut antara Kementerian Dalam Negeri dengan rakan sejawatnya.
“Presiden telah menyatakan bahawa mereka yang masih berada di sini, tertakluk kepada rekod yang ada, akan dibincangkan dan dirundingkan selanjutnya oleh Kementerian Dalam Negeri dengan rakan sejawatnya.
“Presiden juga bersedia menerima mereka mengikut peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan.
“Jadi, saya mesti mengucapkan terima kasih,” katanya.
Anwar berkata, setiap individu yang dikenal pasti sebagai berasal dari Myanmar perlu melalui proses pengesahan, termasuk menentukan sama ada mereka mempunyai rekod jenayah semasa atau sebaliknya.
“Anda juga menyebut bahawa mereka yang berada di depot, sekitar 3,000 hingga 4,000 orang, akan dihantar pulang.
“Mana-mana individu yang dapat disahkan sebagai berasal dari Myanmar, sudah tentu perlu melalui proses pengesahan, termasuk menentukan sama ada mereka mempunyai rekod jenayah semasa atau sebaliknya.
“Kita perlu menghormati prosedur tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar sekali lagi menegaskan penghargaan terhadap keterbukaan Myanmar dan kesediaannya untuk bekerjasama dalam proses repatriasi rakyat negara itu.
“Namun, sekali lagi saya ingin menegaskan penghargaan saya atas keterbukaan anda dan kesediaan untuk bekerjasama,” katanya. – UTUSAN
The post Myanmar bersedia teruskan repatriasi, tanggung kos penghantaran pulang rakyat appeared first on Utusan Malaysia.





