Bakar kereta Cikgu Chandra tindakan melampau - Pas

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 10:01 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Fadhli berkata, pihak berkuasa perlu mengambil serius perkembangan tersebut dengan melaksanakan siasatan segera, telus dan menyeluruh.

PUTRAJAYA – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membakar kenderaan milik Cikgu Chandra disifatkan sebagai perbuatan melampau yang tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berteraskan undang-undang.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihak berkuasa perlu mengambil serius perkembangan tersebut dengan melaksanakan siasatan segera, telus dan menyeluruh.

"Individu atau kumpulan yang terlibat mesti dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan agar keadilan dapat ditegakkan serta menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak melakukan tindakan serupa," tegas beliau dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Ujar beliau, semua pihak hendaklah menghormati serta mematuhi undang-undang negara dan sebarang pertikaian atau ketidakpuasan hati mesti disalurkan melalui saluran undang-undang yang sah.

"Mengambil undang-undang di tangan sendiri hanya akan memburukkan keadaan serta membuka ruang kepada unsur provokasi dan ekstremisme," jelas Ahmad Fadhli.

Menurutnya, situasi seperti itu tidak boleh dibiarkan sehingga menjejaskan keselamatan awam serta kestabilan negara.

"Perlu diingat bahawa apabila sesebuah negara mula bergolak dan keadaan menjadi huru-hara, akan ada pihak tertentu mengambil kesempatan daripada kekacauan tersebut untuk mencapai agenda mereka. Negara tidak boleh dibiarkan sampai ke tahap terpaksa diisytiharkan darurat," kata beliau.

Dalam masa sama, Ahmad Fadhli menyeru semua rakyat kekal tenang dan tidak bertindak di luar batas.

"Sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal sehingga membawa kepada darurat, rakyat dan negara secara keseluruhannya akan menanggung kerugian yang besar dari segi kestabilan, ekonomi dan kehidupan masyarakat. Oleh itu, semua pihak perlu bertindak secara rasional dan bertanggungjawab demi memastikan keamanan negara terus terpelihara," jelasnya.

Terdahulu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi hantarannya memaklumkan tiga kereta milik Cikgu Chandra telah dibakar, dipercayai dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian sekitar jam 3 pagi.

Sebelum ini, rumah Cikgu Chandra di Puchong didakwa telah diserang sekumpulan lelaki yang memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.

Serangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth, diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam keretanya.