KDEB kesan sampah pukal dibuang di masjid menjelang Aidilfitri

LocalEnvironment
10 Mar 2026 • 12:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ramli berucap pada Majlis Iftar bersama anak-anak yatim dan pelajar tahfiz pada Isnin.

SHAH ALAM – KDEB Waste Management (KDEBWM) mengesan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu membuang sampah pukal berhampiran beberapa masjid di Selangor menjelang Aidilfitri.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai lambakan sampah pukal termasuk kerusi lama yang dibuang berhampiran masjid.

Menurutnya, masjid merupakan tempat ibadat yang suci dan tidak sepatutnya dijadikan lokasi membuang sampah oleh mana-mana pihak.

"Saya dapat gambar, ada pihak tidak bertanggungjawab buang sampah pukal di kawasan masjid, ada buang kerusi lama.

"Tidak bolehlah macam itu, masjid tempat suci dan bersih," katanya kepasa pemberita pada Majlis Iftar anak-anak yatim dan pelajar tahfiz di Petals Event Space, di sini, pada Isnin.

Ramli menambah, antara lokasi yang dilaporkan berlaku kejadian tersebut termasuklah Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Beruntung.

Beliau berkata, walaupun memahami keperluan orang ramai untuk melupuskan barangan lama terutama ketika musim mengemas rumah, ia tidak sepatutnya dilakukan di kawasan masjid.

"Dengan keadaan sampah pukal yang banyak, saya jangka dia ambil kesempatan buang sampah di kawasan masjid pada waktu malam," ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, pihaknya akan menyalurkan maklumat berkaitan kepada agensi berkenaan untuk tindakan lanjut memandangkan kuasa penguatkuasaan adalah di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, orang ramai yang ingin melupuskan sampah pukal dinasihatkan memaklumkan kepada pihak pengurusan lebih awal melalui pusat arahan bagi memudahkan jadual kutipan ditetapkan.

Dalam pada itu, Ramli turut memaklumkan setakat 19 hari Ramadan, jumlah kutipan sampah bazar direkodkan menurun sekitar 15 hingga 20 peratus berbanding tahun lalu.

“Secara purata, jumlah lebihan sampah bazar Ramadan direkodkan sekitar 50 hingga 60 tan sehari.

“Jika purata 50 tan sehari dikira sepanjang Ramadan, jumlah sampah bazar Ramadan boleh mencecah hampir 1,500 tan dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Beliau berkata, lebihan sampah itu terdiri daripada makanan tidak terjual, makanan dibuang dan makanan yang ditinggalkan pengunjung bazar.

Beliau menyeru peniaga bazar supaya merancang jumlah jualan mengikut jangkaan pelanggan bagi mengelakkan lebihan makanan, manakala pembeli diingatkan supaya membeli makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan lebihan makanan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memberi jaminan operasi kutipan sampah sempena Aidilfitri akan berjalan seperti biasa bagi memastikan kawasan perumahan dan awam kekal bersih.

Menurutnya, pekerja kutipan sampah akan menunaikan solat sunat Aidilfitri terlebih dahulu sebelum meneruskan tugas seperti biasa.

Ramli memberitahu, pihaknya juga akan memastikan kawasan awam dibersihkan lebih awal terutama menjelang pagi Hari Raya.