Bakar sampah: Wanita bebas jaminan polis, kertas siasatan dirujuk kepada TPR

LocalEnvironment
27 Apr 2026 • 2:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bakar sampah: Wanita bebas jaminan polis, kertas siasatan dirujuk kepada TPR
Seorang wanita dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan bagi membantu siasatan akibat tindakan membakar sampah sehingga menyebabkan kebakaran semak dan rangka sebuah kereta terbengkalai hangus di Jalan Pantai Perkasa, Bachok

BACHOK - Seorang wanita dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan bagi membantu siasatan pada Jumaat susulan tindakannya membakar sampah sehingga menyebabkan kebakaran semak dan rangka sebuah kereta terbengkalai hangus di Jalan Pantai Perkasa, di sini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, wanita berusia 52 tahun itu dibebaskan pada Sabtu selepas memberi keterangan.

"Kami akan merujuk kertas siasatan berhubung kes tersebut kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka, lebih-lebih lagi dalam keadaan kemarau.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Sabtu melaporkan tindakan seorang wanita membakar sampah membawa padah apabila dia ditahan bagi membantu siasatan selepas api merebak ke kawasan semak dan dipercayai menyebabkan sebuah kenderaan terbengkalai hangus dalam kejadian di Jalan Pantai Perkasa, di sini, pada Jumaat.

Mohamad Ismail berkata, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai dengan api atau bahan mudah terbakar sehingga membahayakan harta benda.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pengadu dimaklumkan oleh saksi bahawa kawasan semak serta rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai sedang terbakar sebelum bergegas ke lokasi bersama beberapa penduduk.

"Setibanya di tempat kejadian, api didapati sedang marak dan merebak ke arah kawasan berhampiran rumah pengadu.

"Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran melibatkan kawasan lapang berdekatan rumah terbengkalai hingga ke hadapan rumah pengadu, termasuk tanaman serta beberapa barangan seperti pokok kelapa, rangka Proton Wira, kayu binaan dan pagar besi.

Menurutnya, siasatan turut menemukan kesan pembakaran sampah di atas tanah milik wanita berkenaan yang terletak bersebelahan dengan kawasan kejadian.