Bakar Tandas Hingga Sebabkan Kematian Rakan, 2 Remaja Dihukum Cuci Tandas Selama 6 Bulan

Entertainment
26 Oct 2023 • 10:54 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Gara-gara membakar sebuah tandas di Bandar Puncak Alam Fasa 3, Kuala Selangor hingga menyebabkan kematian rakan mereka, dua remaja lelaki masing-masing berusia 16 tahun telah dijatuhkan hukuman bersifat khidmat masyarakat.

Mahkamah Majistret Kuala Selangor semalam menerusi Majistret Siti Hajar Ali memerintahkan dua remaja berkenaan mencuci tandas dalam tempoh enam bulan atau 100 jam selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mereka, lapor Buletin TV3.

image is not available

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan bon berkelakuan baik sebanyak RM1,000 untuk setiap seorang selama dua tahun, selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dalam tempoh yang sama.

Kamu tidak boleh keluar rumah sendirian bermula jam 8 malam hingga 6 pagi kecuali ditemani ibu bapa masing-masing selain kena hadir bengkel yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” kata majistret.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja itu telah didakwa melakukan khianat dengan api dan menyebabkan kebinasaan kepada tandas awam gelanggang futsal di Jalan Cakera Purnama, Fasa 3 Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor kira-kira jam 2.47 petang, 28 Ogos tahun lalu.

image is not available

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda.

Ketika prosiding berlangsung juga, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengemukakan laporan akhlak kedua-dua tertuduh selain mengemukakan dua syor termasuk berkelakuan baik.

Dua penasihat awam termasuk seorang guru juga memberikan pernyataan dalam mahkamah, dan menegur perbuatan kedua-dua remaja itu yang merosakkan harta awam.

Ini juga memberikan kesan kepada keluarga mangsa. (Kedua-duanya) perlu muhasabah diri,” katanya.

Terdahulu, kes ini mendapat liputan media apabila tindakan dua remaja yang bermain api telah mengundang padah hingga menyebabkan seorang rakan mereka maut selepas terperangkap dalam tandas awam pada 28 Ogos lalu.

Mangsa iaitu Muhammad Damin Mikhail Kamsol berusia 16 tahun telah ditemui rentung selepas kebakaran tandas itu berjaya dipadamkan pihak bomba.

Sumber: Buletin TV3

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.