Bakat Muda Permata Seni Koir Rangkul Juara Internationales Chorfest Di Jerman

LocalMusic
24 Sep 2026 • 5:32 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Bakat Muda Permata Seni Koir Rangkul Juara Internationales Chorfest Di Jerman

SEPANG, 23 Sept (Bernama) -- Sekumpulan bakat muda Permata Seni Koir (PSK) membuktikan mereka mampu mengatasi peserta lebih dewasa apabila meraih 29 daripada 30 mata dan dinobatkan juara keseluruhan 3rd Internationales Chorfest di Magdeburg, Jerman.

Ketua Bidang PSK Datuk Syafinaz Selamat yang juga konduktor koir itu berkata kejayaan tersebut bukan sekadar memartabatkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah juga membina keyakinan dan semangat berpasukan ahli muda PSK menerusi persaingan dengan kumpulan lebih berpengalaman.

Beliau berkata kemenangan dalam pertandingan yang berlangsung dari 16 hingga 20 Sept itu adalah luar jangkaan terutama apabila pesaing mereka terdiri daripada kalangan yang lebih dewasa.

"Memang kami tidak menjangka menang. Apabila diumumkan markah kami paling tinggi dalam pertandingan itu, iaitu 29 daripada 30, kami berasa macam tidak percaya.

"Anak-anak semua dah menangis. Saya sangat gembira dan berbangga dengan anak-anak ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.

Kepulangan kumpulan PSK itu disambut Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek sebagai menghargai kejayaan mereka mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Ruang ketibaan KLIA Terminal 1 turut bergema seketika dengan alunan suara kumpulan itu yang mempersembahkan dua lagu iaitu Sewang dan Enjut bagi memeriahkan suasana sambutan kepulangan mereka.

Syafinaz berkata kejayaan itu menjadi lebih bermakna kerana persediaan mereka hanya dimulakan April lepas dengan latihan dilakukan dua kali seminggu selama dua jam setengah setiap sesi meliputi aspek nyanyian, kelas teori muzik dan kaedah nyanyi langsung bagi membina asas serta kemahiran muzik secara menyeluruh.

Beliau berkata tempoh latihan itu "mengejutkan" penganjur pertandingan di Jerman selepas melihat mutu persembahan yang ditampilkan ahli PSK.

Seorang ahli PSK, Valerie Soh Yue Yun, 14, menyifatkan kerja keras kumpulan membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara pada pertandingan itu.

"Saya berasa amat gembira dapat menyertai pertandingan ini. Kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menampilkan persembahan yang cemerlang. Kami tidak menyangka dapat menjadi juara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata kunci kejayaan mereka adalah kerjasama erat setiap ahli apabila masing-masing saling membantu untuk memastikan persembahan dilaksanakan dengan sempurna.

Sementara itu, ahli termuda PSK, Tarshanaa Suresh, 12, berkata penyertaannya dalam pertandingan itu bukan sekadar untuk meraih kemenangan malah juga pengalaman yang dapat mengeratkan hubungan persahabatan dan mengajarnya erti kerjasama serta disiplin.

Pada pertandingan itu, PSK meraih Diploma Emas Tahap 7 dengan 26.78 mata dalam kategori koir kanak-kanak menerusi persembahan Jenny, Song of Hope dan Ardi Bertuah.

PSK turut dinobatkan sebagai juara kategori lagu rakyat selepas meraih Diploma Emas Tahap 9 dengan 29.00 mata, menerusi persembahan Sewang, Tari Tualang Tiga dan Jong Jong Inai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved