Baki syor RCI TH hampir selesai, tunggu pindaan Akta 535 

LocalBusiness & Finance
3 Sep 2026 • 2:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Baki syor RCI TH hampir selesai, tunggu pindaan Akta 535 

BANGI: Proses melengkapkan baki syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) kini hampir ke peringkat akhir, khususnya membabitkan usaha memperkukuh aspek kawal selia institusi berkenaan.

Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Rashid Hussin berkata, pelaksanaan syor berkenaan memerlukan pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) sebelum ciri kawal selia dan tadbir urus baharu dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Ini memakan masa kerana kita perlu mengubah akta yang ada sekarang. Akta yang ada sekarang ialah Akta 535 dan proses itu sudah hampir lengkap.

“Kita hanya perlu menyelesaikan beberapa perkara dalam tempoh sebulan atau dua lagi dan perubahan itu akan mengekalkan ciri kawal selia serta tadbir urus,” katanya ketika Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH, di sini hari ini.

Rashid berkata, apabila proses kawal selia berkenaan selesai, TH dijangka mencapai hampir 90 peratus pelaksanaan keseluruhan syor RCI.

Beliau berkata, antara perkara penting yang turut diberi perhatian ialah memastikan proses pengisytiharan dividen dibuat berdasarkan kedudukan kewangan yang telah diaudit, selaras dengan penambahbaikan yang dicadangkan RCI.

Rashid berkata, pendekatan TH kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada kepercayaan terhadap individu, sebaliknya sistem dan mekanisme kawalan perlu diwujudkan bagi mengesan serta mencegah sebarang kelemahan.

Katanya, pelaksanaan syor RCI turut memberi penekanan kepada tadbir urus, pengurusan risiko dan kecairan bagi memastikan setiap keputusan institusi dibuat berdasarkan kawalan yang jelas.

“Kita mesti pastikan sistem itu diletakkan (pada tempatnya) supaya ia tahu bagaimana untuk mengesannya dan bagaimana untuk mentadbir,” katanya.

Beliau berkata, TH turut mendapatkan khidmat pakar bagi memperkemas program latihan dan tadbir urus, selain memperkukuh fungsi jawatankuasa di peringkat lembaga.

Katanya, setiap jawatankuasa kini diberikan kuasa tambahan untuk memberi tumpuan khusus terhadap aspek tadbir urus dan memastikan mekanisme kawalan dalaman sentiasa berfungsi.

“Segala perkara yang kita ada dalam syor RCI berkenaan tadbir urus korporat, kecairan dan pengurusan risiko semuanya kita sudah laksanakan,” katanya. –UTUSAN 

 

The post Baki syor RCI TH hampir selesai, tunggu pindaan Akta 535  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved