Rashid sangkal dakwaan Madinah Mohamad tak dipanggil RCI TH

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 4:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Rashid sangkal dakwaan Madinah Mohamad tak dipanggil RCI TH

Pengerusi TH Tan Sri Rashid Hussain sangkal dakwaan bekas Ketua Audit Negara Madinah Mohamad dinafikan peluang beri keterangan di hadapan RCI Tabung Haji.

BANGI:Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Rashid Hussain menyangkal dakwaan bahawa bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad, dinafikan peluang untuk memberi keterangan di hadapan suruhanjaya tersebut.

Rashid yang juga Pengerusi TH berkata rekod RCI menunjukkan bahawa Madinah telah dipanggil untuk hadir ke hadapan suruhanjaya itu pada 3 Jun 2022, tetapi meminta agar timbalannya Mona Osman, menemaninya.

“Adalah mustahil untuk percaya bahawa kami tidak akan memanggilnya untuk hadir di hadapan kami. Rekod kami menunjukkan bahawa beliau telah disepina untuk hadir pada 3 Jun 2022.

“Tetapi beliau meminta untuk tidak datang berseorangan, sebaliknya ditemani oleh timbalannya Puan Mona Osman,” katanya kepada pemberita selepas program Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di sini, hari ini.

Rashid berkata berikutan permintaan itu, Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif memutuskan untuk memanggil Mona untuk memberi keterangan pada 2 Jun 2022.

Beliau berkata Madinah juga diberikan peluang untuk memberikan pandangannya melalui 75 soalan yang dikemukakan kepadanya, yang dijawabnya di bawah akuan berkanun.

“Beliau telah mengemukakan jawapannya kepada 75 soalan tersebut, bersama-sama dengan surat iringan dan semua ini direkodkan dalam rekod kenyataan saksi kami. Oleh itu, tidak benar untuk mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai peluang untuk diwakili atau memberikan pandangannya,” katanya.

Rashid berkata penjelasan itu dibuat untuk memperbetulkan fakta, susulan dakwaan bahawa Madinah tidak diberikan peluang untuk memberi keterangan di hadapan RCI.

Pada 25 Ogos, Madinah berkata RCI mungkin mencapai penemuan yang berbeza jika beliau dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan suruhanjaya tersebut.

Madinah, yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019, berkata Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang disediakan oleh pasukannya, tidak mengenal pasti sebarang bukti kecurian secara langsung yang melibatkan TH.

Pada 29 Julai, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerbitkan Laporan RCI setebal 211 muka surat, berhubung siasatan ke atas pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020.

Laporan itu menggariskan pelbagai penemuan mengenai kelemahan dalam pengurusan institusi berkenaan sepanjang tempoh tersebut dan mengemukakan 25 syor penambahbaikan, yang mana 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved