Sekumpulan saintis China telah menemui sejenis bakteria baharu yang mampu hidup dalam keadaan ekstrem di angkasa lepas. Penemuan ini dijangka memberi impak besar terhadap misi jangka panjang manusia di luar Bumi.
Bakteria tersebut, dinamakan Niallia tiangongensis, ditemui di permukaan peralatan di Stesen Angkasa Tiangong. Ia diasingkan oleh angkasawan China (taikonaut) dan dikaji oleh Institut Kejuruteraan Sistem Kapal Angkasa Beijing. Hasil kajian telah diterbitkan dalam jurnal International Journal of Systematic and Evolutionary Microbiology.
Bakteria ini mempunyai kaitan rapat dengan Niallia circulans, sejenis bakteria biasa yang ditemui di tanah, kumbahan, makanan dan najis manusia. Namun begitu, versi yang ditemui di angkasa ini menunjukkan beberapa mutasi unik yang menjadikannya lebih tahan lasak dan sesuai untuk hidup dalam persekitaran tanpa graviti.
Antara keupayaan luar biasanya termasuk kebolehan untuk memecahkan gelatin. Ini menunjukkan bahawa ia boleh menggunakan gelatin sebagai sumber makanan dalam keadaan kekurangan nutrien. Tambahan pula, bakteria ini menunjukkan perubahan struktur dan fungsi dalam dua protein penting. Perubahan ini dipercayai membantu proses pembentukan biofilm, tindak balas terhadap tekanan oksidatif serta pemulihan daripada kerosakan akibat radiasi.
Ciri-ciri ini menjadikan Niallia tiangongensis sangat berdaya tahan. Ketahanan seperti ini amat penting untuk organisma yang perlu bertahan di angkasa lepas yang penuh dengan cabaran seperti sinaran kosmik dan kekurangan sumber makanan.
Proses pengumpulan bakteria ini juga menarik perhatian. Pada tahun 2023, para taikonaut menggunakan kain steril untuk menyapu permukaan di dalam stesen angkasa. Sampel yang diperoleh kemudian dibekukan dan dihantar pulang ke Bumi.
Kaedah ini adalah sebahagian daripada Program Mikrobioma Kawasan Hunian Stesen Angkasa China (CHAMP) yang memantau perubahan mikroorganisma sepanjang misi jangka panjang di angkasa.
Program CHAMP bertujuan untuk memahami bagaimana mikroorganisma bertindak balas terhadap persekitaran luar Bumi serta meneroka potensi aplikasi dalam bidang perubatan, pertanian dan penyelidikan sains hayat.
Penemuan ini mengingatkan kita kepada kejadian di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tahun lalu apabila angkasawan Amerika menemui bakteria usus yang telah bermutasi dan menjadi kebal terhadap ubat. Ini sekali lagi menunjukkan bahawa persekitaran angkasa boleh mengubah sifat mikroorganisma dengan cara yang tidak dijangka.
Kajian seperti ini memberi gambaran awal tentang bagaimana kehidupan mungkin bertahan dan berkembang di luar planet kita. – Agensi
The post Bakteria ajaib ditemui di Stesen Angkasa China, mampu hidup dalam keadaan ekstrem appeared first on The Reporter.


![[PANDU UJI] 9 Sebab Kenapa Honda City e:HEV RS Facelift Kereta Balik Kampung Yang Terbaik](https://cdn.newswav.com/img/topic/cars.jpeg)

