
PETALING JAYA – Seorang pelajar tahfiz berusia 15 tahun meninggalkan legasi mulia apabila kisahnya yang mendermakan kornea dan injap jantung setelah menghembuskan nafas terakhir mencetus inspirasi luar biasa demi menyelamatkan nyawa insan lain.
Eusoff Mubassyir Al-Ansori Azahir, dari Maahad Tahfiz At-Ta’zim di Segamat yang meninggal dunia pada 4 Ogos lalu merupakan pengikrar penderma organ dan jasad Allahyarham diiringi para petugas Hospital Segamat dalam satu penghormatan terakhir walk of honour.
Berkongsi kisah mulia arwah, ibunya Noor Suriya Abas, 50, mengakui anaknya pernah bertanya mengenai perihal menderma organ yang baginya sangat mulia sehingga pahala mengalir tanpa henti sekalipun telah meninggal dunia.
Katanya, keinginan arwah itu disuarakan selepas dia melihat berita seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menderma organ selepas meninggal dunia akibat kemalangan.
Menurutnya, Eusoff juga ada bertanya kepadanya sama ada kanak-kanak seusianya boleh menjadi penderma organ ataupun tidak.
“Saya selalu bacakan kepada anak-anak firman Allah dalam Surah Hud ayat 114 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan’. Ayat inilah yang selalu saya ingatkan kepada kami semua,” katanya yang memaklumkan Eusoff baru memasuki juzuk ke-18 dalam hafazan Al-Quran.
Bagaimanapun, kata Noor Suriya, ketika Eusoff tenat pada hari kedua di Unit Rawatan Rapi (ICU), beliau teringat mengenai pendermaan organ ketika menunaikan solat tahajud.
“Ketika tahajud memang teringat pasal pendermaan organ dan minta kepada Allah panduan semoga dimudahkan segala perkara jika ke arah itu.
“Saya bincang dengan suami dan memohon kepada Allah selepas semua bersetuju. Alhamdulillah dengan izin Allah semuanya terlalu lancar dari awal perbincangan sehinggalah selesai urusan pembedahan selepas anak diisytiharkan meninggal dunia,” katanya.
Noor Suriya berkata, selepas berbincang dengan suaminya dan bersetuju untuk meneruskan hasrat berkenaan, mereka kemudian menyerahkan sepenuhnya urusan pendermaan organ Eusoff kepada pihak hospital dengan arwah mendermakan kornea mata dan injap jantung.
Katanya, Eusoff dimasukkan ke Hospital Segamat pada 1 Ogos 2026 selepas mengalami masalah kesihatan yang dihadapinya sejak November tahun lalu.

Mengulas mengenai penyakit yang dihidapi Eusoff, beliau berkata, anaknya mengalami masalah paras platelet rendah sehingga menyebabkan mudah berlaku pendarahan sejak November tahun lepas.
Beliau turut berharap pendermaan organ yang dilakukan Eusoff menjadi amal jariah yang pahalanya berpanjangan buat arwah, selain menjadi bakti terakhir anaknya kepada insan lain yang memerlukan.
“Semoga apa yang dikongsikan ini memberi manfaat kepada semua. Ambillah yang baik daripada kisah kami, manakala yang kurang baik itu datang daripada kelemahan kami sendiri. Semoga segala yang baik daripada arwah menjadi manfaat dan inspirasi,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Suriya berkata, dengan izin Allah, tiga orang anaknya termasuk arwah kakak kembar Eusoff turut melalui perjalanan menghafaz al-Quran.
Katanya, kembar kakak Eusoff yang meninggal dunia pada 2021 sempat menghafaz empat juzuk sebelum meninggal dunia akibat penyakit SLE.
“Seorang lagi kakaknya telah khatam 30 juzuk pada 17 Ramadan tahun lepas dan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Arwah juga ada adik yang berusia tujuh tahun,” katanya.
Sementara itu, guru hafazannya, Ustaz Nasrul Hakim Ghazali al-Hafiz berkata, arwah merupakan seorang pelajar yang baik, mudah berkawan serta sentiasa menghormati guru.
Menurutnya, Eusoff juga mampu bergaul dan bergurau seperti biasa bersama rakan-rakannya.
“Antara perkara yang paling saya ingat tentang Eusoff ialah dia seorang yang tetap cuba datang ke maahad walaupun keadaan kesihatannya tidak begitu baik. Dia ada semangat untuk belajar bersama rakan-rakan,” katanya.
The post Bakti terakhir Eusoff derma kornea, injap jantung appeared first on Kosmo Digital.


