
SHAH ALAM – Cubaan seorang pemilik tanah menyogok pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk ‘menutup mata’ bagi kesalahan menjalankan premis e-waste secara haram memakan diri apabila didenda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Chan Suit Cheong, 61, yang diwakili peguam S. Preakas selepas lelaki tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.
Wanita itu didakwa memberikan wang suapan RM15,000 kepada Pegawai Kawalan Kanan JAS Putrajaya sebagai balasan menyembunyikan kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana tidak mempunyai lesen.
Kesalahan dilakukan di sebuah tapak melibatkan tiga lot tanah di Telok Panglima Garang, Johan Setia, Klang pada 25 Februari tahun lalu.
Pegawai Pendakwa Raya Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pemeriksaan JAS di sebuah lot tanah yang disewakan Suit Cheong kepada seorang warga China membawa kepada penemuan longgokan e-waste termasuk mesin pencetak terpakai dan papan litar bercetak yang dileraikan.
Apabila gagal mengemukakan dokumen operasi, tertuduh kemudian mengeluarkan bungkusan berisi wang RM15,000 dan meletakkannya di atas meja sebagai sogokan supaya pegawai JAS tidak mengambil tindakan terhadap syarikatnya. – KOSMO! ONLINE
The post Balasan sogok wang RM15,000, pemilik tanah didenda RM75,000 appeared first on Kosmo Digital.


