Wanita didenda RM75,000 mengaku salah beri rasuah kepada pegawai JAS

LocalEnvironment
6 Aug 2026 • 5:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wanita didenda  RM75,000 mengaku salah beri rasuah kepada pegawai JAS
Seorang wanita didenda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan kerana memberi suapan RM15,000 kepada pegawai JAS. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Seorang wanita didenda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan kerana memberi suapan RM15,000 kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap premis pemprosesan sisa elektronik (e-waste) haram, tahun lepas.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Chan Suit Seong, 60, yang turut berdepan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan, Suit Seong didakwa secara rasuah memberikan wang tunai RM15,000 kepada Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana tidak mempunyai lesen premis ditetapkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah tapak melibatkan tiga lot tanah di Revolusi Hijau Batu, Johan Setia, Klang pada kira-kira 12.30 tengah hari, 25 Februari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi, manakala tertuduh diwakili peguam S Preakas.

Mahkamah turut memerintahkan wang sitaan berjumlah RM15,000 yang menjadi bahan kes dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Kes itu merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan menerusi Operasi Nature 6.0 yang dijalankan SPRM Selangor. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved