Balu Mangsa Rempuhan Syukur Suspek Didakwa Membunuh

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 4:16 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Balu Mangsa Rempuhan Syukur Suspek Didakwa Membunuh

KLANG, 1 April (Bernama) -- Balu kepada mangsa yang maut selepas dirempuh seorang pemandu di bawah pengaruh dadah di Klang baru-baru ini, menzahirkan rasa syukur selepas suspek terbabit didakwa atas kesalahan membunuh.

Isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, iaitu Nor Nadia Abdul Majid, 32, turut meluahkan rasa lega dengan prosiding pendakwaan yang berlangsung hari ini dan menyerahkan urusan seterusnya kepada peguam pemerhati keluarga, Mohd Faizi Che Abu.

“Pertama sekali, syukur alhamdulillah. Terima kasih, Ya Allah. Lega sikit saya rasa. Selain daripada ini (urusan selanjutnya) saya serah kepada peguam,” katanya.

Nor Nadia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding pendakwaan R. Saktygaanapathy, 28, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya pada Ahad lepas.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi.

Kejadian berkenaan mengakibatkan Amirul Hafiz, tercampak ke atas bumbung kereta jenis Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Nor Nadia berkata dia memutuskan untuk menetap di kampung halamannya di Taiping, Perak, sebagaimana pesanan Allahyarham suaminya sebelum ini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata dia kini berada di Shah Alam hanya untuk menyelesaikan urusan perpindahan sekolah dua anak lelakinya sebelum berpindah ke kampung.

“Suami (pernah) cakap kalau jadi apa-apa, balik duduk di kampung. Jangan duduk sini (Shah Alam). Di sini tidak ada sesiapa. Dekat sana (kampung) keluarga ramai. Kalau saya sibuk, keluarga boleh tengokkan (anak-anak),” katanya.

Nor Nadia berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memberikan sokongan kepada keluarganya semalam dan berharap emosi anak-anaknya akan terus kuat dalam menghadapi ujian itu.

“Semalam, mereka tidur pakai baju arwah. Saudara-mara ada bawa anak-anak pergi ke kubur. Yang si kecil (anak perempuan bongsu berusia dua tahun) tidak pernah ke kubur. Dia cakap papa kat dalam.

“Saya harap anak-anak kuat. Saya tak nak dia (anak sulung) berasa bersalah sebab arwah papa pergi untuk cari buku teks dia. Perkara itu yang saya takut,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faizi berkata keluarga Allahyarham merancang untuk menuntut pampasan yang dianggarkan melebihi RM1 juta bagi membela nasib isteri dan tiga anak yang kehilangan tempat bergantung serta kasih sayang seorang bapa.

Beliau berkata jumlah sebenar pampasan akan ditentukan berdasarkan pendapatan arwah, sumbangan kepada keluarga, tanggungan, serta prinsip undang-undang dan ketetapan kes-kes terdahulu.

Mohd Faizi akan mewakili keluarga sepanjang prosiding kes serta memberikan nasihat berkaitan tindakan jenayah dan sivil yang akan diambil.

Baca juga: