Ban dinaikkan, bendung banjir berulang Kampung Melayu Subang

LocalEnvironment
4 Nov 2026 • 11:18 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ban dinaikkan, bendung banjir berulang Kampung Melayu Subang

SHAH ALAM – Ban Sungai Pelempas di Kampung Melayu Subang bakal dinaikkan sehingga satu meter bagi menghalang air melimpah ke kawasan kediaman penduduk ketika hujan lebat.

Langkah segera itu dikenal pasti kerajaan negeri selepas mendapati tebing sungai di kawasan berkenaan tidak lagi mampu menampung aliran air sehingga menyebabkan limpahan air berulang.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, kerja menaikkan ban antara 0.5 hingga satu meter akan dilaksanakan di beberapa lokasi rendah yang dikenal pasti berisiko.

Katanya, pihaknya sudah meneliti keadaan kawasan terjejas dan akan mendapatkan kelulusan kerajaan negeri bagi membolehkan kerja berkenaan dimulakan segera.

“Di Kampung Melayu Subang, saya sudah tengok dan teliti laporan. Sebenarnya air melimpah di bahagian tebing sungai. Jadi, kita kena naikkan ban.

“Tempat yang dikenal pasti berlaku limpahan dan mempunyai ban rendah akan dinaikkan antara 0.5 hingga satu meter,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urus Air Selangor di sini hari ini.

Izham berkata, beliau akan membawa perkara tersebut dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, anggaran kos bagi tindakan segera ini belum dimuktamadkan, mungkin dijangka menelan belanja dibawah RM1 juta,” jelasnya.

Mengulas Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh yang mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar laporan terkini berkenaan diserahkan Jumaat ini, Izham berkata, RTB Sungai Buloh masih di peringkat awal pelaksanaan selepas peruntukannya diluluskan pada hujung tahun lalu.

Katanya, projek itu memerlukan tempoh empat hingga lima tahun untuk disiapkan kerana membabitkan proses reka bentuk, pengambilan tanah dan pembinaan fizikal.

“Projek ini baru dilaksanakan dan kita baru mendapat bajet. Reka bentuk pun masih di peringkat awal.

“Saya sudah beberapa kali memaklumkan bahawa proses melaksanakan RTB memerlukan masa. Ada proses yang perlu dilalui sebelum kerja fizikal boleh dimulakan,”ujarnya.

Izham berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan di sepanjang sebahagian Sungai Pelempas, Kampung Melayu Subang, berikutan terdapat rumah dibina di atas rizab sungai.

Katanya, fasa kedua projek berkenaan baru mendapat kelulusan untuk tindakan penguatkuasaan minggu lalu membabitkan jajaran beberapa ratus meter.

Beliau berkata, kemungkinan penduduk terjejas hanya dapat dikenal pasti selepas reka bentuk projek dimuktamadkan, namun kerajaan negeri akan cuba meminimumkan kesan pemindahan.

“Rumah di Kampung Melayu Subang terlalu rapat dengan sungai. Sungai pula sudah tidak mampu menampung air sehingga melimpah ke tebing.

“Jadi, kita perlu naikkan ban atau bina tembok banjir (flood wall). Jika penguatkuasaan perlu dilakukan, ia terpaksa dibuat demi kepentingan umum,” katanya.

Dalam pada itu, Izham berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan melaksanakan langkah sementara termasuk menaikkan ban dan memasang pam air di kawasan berisiko sementara menunggu projek RTB disiapkan.

Malah, kerajaan negeri turut menambah peruntukan RM70 juta bagi melaksanakan 255 projek penyelesaian segera (quick win) di seluruh Selangor.

“Projek berkenaan merangkumi pemasangan pam, pembersihan longkang dan parit serta pembaikan tebing sungai runtuh,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Ban dinaikkan, bendung banjir berulang Kampung Melayu Subang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved