Banding institusi tahfiz dengan UEC satu penipuan intelektual

LocalPolitics
21 May 2026 • 11:27 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Banding institusi tahfiz dengan UEC satu penipuan intelektual
Khairun Nizam Mohammad Yusoff

KEPUTUSAN Kabinet membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ‘menyusup’ masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memang bunyinya cukup indah, ditiup pula dengan angin inklusiviti, keterbukaan dan pesanan klise, “jangan dipolitikkan”.

Namun, bagi mereka yang tidak buta politik, tindakan tersebut hanyalah satu lagi siri tunduknya sebuah kerajaan demi kelangsungan kuasa.

Mengapa standard pendidikan kebangsaan yang dibina sejak berdekad-dekad sanggup digadaikan semata-mata untuk memuaskan hati kelompok tertentu?

Ini bukan sekadar soal peluang pendidikan, tetapi soal maruah sistem acuan nasional yang sengaja diturunkan tarafnya.

Demi meredakan kemarahan majoriti, pengumuman mengenai UEC ini sengaja dibungkus bersama kelonggaran untuk pelajar sekolah agama Arab dan institusi tahfiz. Ini ialah taktik lapuk dalam buku teks komunikasi politik.

Apabila mahu meluluskan dasar yang kontroversial, elemen murni diselitkan sebagai perisai. Membandingkan institusi tahfiz dengan UEC merupakan satu penipuan intelektual yang amat parah.

Pelajar tahfiz dan sekolah agama Arab di Malaysia masih berada dalam kerangka sistem kebangsaan yang akur kepada aspirasi negara. Sebaliknya, UEC ialah sistem swasta sepenuhnya yang kurikulumnya berkiblatkan model luar secara total.

Menggunakan nama anak-anak tahfiz untuk menghalalkan UEC bukan sahaja tidak jujur, malah merupakan satu penghinaan terhadap ekosistem pendidikan Islam itu sendiri.

Alasan bahawa syarat lulus Bahasa Melayu dan Sejarah pada peringkat SPM sudah cukup adil hanyalah lawak jenaka yang hambar.

Setiap tahun, sekitar 400,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berhempas-pulas menduduki pelbagai subjek dalam sistem Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) demi memburu tiket ke IPTA. Tidak kurang juga yang perlu melalui ranjau STPM yang diiktiraf dunia sebagai antara peperiksaan paling sukar atau matrikulasi.

Tiba-tiba, formula keadilan kerajaan menetapkan pelajar daripada sistem asing boleh menggunakan jalan pintas, iaitu cukup sekadar mengambil dua subjek SPM dan pintu IPTA akan terbuka luas.

Ini ialah dwi standard yang sangat nyata. Kita seolah-olah menghukum anak-anak yang setia kepada acuan nasional dan memberikan karpet merah kepada mereka yang jelas menentang sistem kebangsaan sejak awal.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pantas mempertahankan keputusan ini dengan melaungkan istilah “meritokrasi”. Namun, bagaimanakah meritokrasi boleh wujud jika padang permainannya senget sebelah?

Di manakah formula ketelusan gred? Adakah gred A dalam peperiksaan UEC mempunyai nilai pemberat yang sama dengan gred A+ dalam SPM atau gred A dalam STPM yang diperiksa oleh Majlis Peperiksaan Malaysia?

Tanpa penyelarasan data akademik yang telus, meritokrasi ini hanyalah slogan kosmetik. Malah, ia berisiko meminggirkan ratusan ribu pelajar SMK, terutamanya golongan B40 dan luar bandar yang tidak mampu ke sekolah swasta mewah, untuk bersaing merebut kuota program di universiti awam yang dibiayai oleh wang cukai rakyat sendiri.

Jangan ada pihak yang naif dan terbuai dengan jaminan bahawa kelonggaran ini “hanya terpakai untuk program tertentu” seperti pengajian bahasa dan sastera Cina.

Ini merupakan pembukaan “pintu belakang” yang sangat berbahaya. Sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit. Hari ini benteng runtuh untuk Fakulti Sastera, esok lusa apabila naratif “kekurangan pakar” dimainkan, tuntutan akan beralih pula kepada Fakulti Perubatan, Undang-Undang dan Kejuruteraan.

Sesiapa yang biasa membaca corak operasi maklumat kelompok pendesak ini pasti tahu, mereka tidak akan berhenti sehingga pengiktirafan penuh diberikan.

Keputusan Kabinet 2026 ini menjadi rujukan buruk yang mengesahkan bahawa ketetapan Akta Pendidikan 1996 rupa-rupanya boleh dilentur mengikut selera politik semasa.

Pendidikan di mana-mana negara berdaulat berfungsi sebagai ejen penyatuan bangsa (unifying factor). Sekolah ialah medan pertama untuk asimilasi budaya, bahasa dan nilai.

Dengan memberikan pengiktirafan serta akses kepada dana awam kepada sistem pendidikan yang terasing, kerajaan sebenarnya sedang menyuburkan pemisahan sosial.

Ibu bapa akan mula berfikir, untuk apa menghantar anak bersusah payah ke sekolah kebangsaan jika sekolah swasta yang eksklusif juga akhirnya mendapat layanan sama di universiti awam?

Bahasa Melayu dan Sejarah bukan sekadar subjek tempelan untuk lulus ujian, tetapi roh kewarganegaraan.

Menurunkannya menjadi sekadar “syarat wajib minimum” demi memenuhi tuntutan politikus merupakan tindakan yang merendahkan martabat bahasa kebangsaan itu sendiri.

Pendidikan ialah benteng terakhir pertahanan identiti nasional yang tidak sepatutnya dicemari oleh kepentingan politik jangka pendek.

Jika tiang gol pendidikan pun boleh diubah setiap kali angin politik bertiup, maka bersedialah untuk melihat satu hari nanti istilah “kebangsaan” itu sendiri hanya tinggal sejarah yang gagal dipertahankan.

Ini bukan soal kemajuan akademik, tetapi sandiwara tawar-menawar politik yang harganya terpaksa dibayar oleh kedaulatan negara. Cukuplah berpolitik dengan masa depan anak-anak kita.

*** Dr Khairun Nizam Mohammad Yusuff ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA Shah Alam.