
MARANG – Seorang banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang banduan lain di Penjara Marang pada dua bulan lalu.
Tertuduh, Che Mohd. Nazzaruddin Che Ros, 36, sekadar mengangguk faham dan tidak membuat sebarang pengakuan sebaik pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Majistret Athirah Hashim.
Berdasarkan pertuduhan, Che Mohd. Nazzaruddin didakwa membunuh Nor Mohd Helmi Sahari, 38, di Zon 2, bilik R10, Penjara Marang antara pukul 8.45 pagi hingga 9.15 pagi, 24 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap Che Mohd. Nazzaruddin dan menetapkan sebutan semula kes pada
10 Disember depan.
Dalam prosiding berasingan, dua lagi banduan, Mohd. Fadli Che Mansor, 36, dan Nor Dhitauddin Afiq Norwadi, 22, pula didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan terhadap Nor Mohd Helmi di lokasi dan masa sama.
Mereka membuat pengakuan tidak bersalah setelah pertuduhan selesai dibacakan di hadapan majistret sama.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Banduan didakwa bunuh rakan dalam Penjara Marang appeared first on Kosmo Online.





