Banduan tampil nuansa tempatan

LocalMovie
7 Nov 2025 • 5:27 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

FILEM aksi yang dinanti-nantikan tahun ini Banduan mula menemui penonton di seluruh negara bermula Khamis (6 November).

Karya adaptasi daripada filem pecah panggung India terkenal Kaithi itu mengajak penonton menyelami detik penuh adrenalin menerusi kisah Dali iaitu seorang bekas banduan yang baru dibebaskan selepas 10 tahun dan berhasrat bertemu semula anak perempuannya buat pertama kali.

Bagaimanapun perjalanan itu berubah apabila Dali secara tidak sengaja terperangkap dalam misi berbahaya bersama Inspektor Johari untuk menyelamatkan sekumpulan anggota polis yang diracun serta dijadikan tebusan oleh kumpulan samseng mahu membalas dendam.

Versi asal Kaithi ditayangkan di India dalam Bahasa Tamil pada tahun 2019 dan berjaya meraih kutipan hampir RM58 juta sekali gus menjadikannya antara filem Tamil paling berjaya pada tahun tersebut.

Filem Banduan membawakan versi Malaysia yang lebih dekat di hati penonton tempatan termasuklah terdapat elemen ikonik seperti Nasi Dagang hingga ke latar lokasi menampilkan budaya serta bahasa.

Selain itu filem ini turut menandakan kemunculan semula Raja Aksi Malaysia Datuk Aaron Aziz yang disifatkan benar-benar menghidupkan setiap babak pertarungan dengan karisma dan tenaga yang mengagumkan.

Turut ditayangkan di Kanada, Amerika Syarikat, Brunei dan Singapura serentak pada 6 November Penerbit Eksekutif filem Banduan Kalyana Devan berkata pihaknya memilih filem Kaithi untuk diadaptasi ke versi Malaysia kerana tertarik dengan jalan ceritanya yang bersifat universal dan menyentuh emosi kemanusiaan.

“Dengan perbezaan budaya yang begitu kecil antara penonton India dan Malaysia kami merasakan ia kisah yang sesuai untuk diolah semula dalam konteks tempatan.

“Banduan mengekalkan semangat asal Kaithi namun disuaikan dengan latar, bahasa dan budaya Malaysia.

“Ia bukan sekadar filem aksi tetapi kisah tentang kasih sayang, pengorbanan dan penebusan yang menyentuh emosi.

“Harapan kami agar Banduan bukan sahaja diterima baik oleh penonton tempatan tetapi juga menjadijambatan antara industri perfileman India dan Malaysia sekali gus memperkukuh kedudukan filem tempatan di rantau ini,” katanya ketika ditemui sejurus selesai Malam Gala Banduan yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Berlangsung TGV Suria KLCC malam gala berkenaan menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air termasuk Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Fadli Masoot, Adlin Aman Ramlie, Hushairi Husain, Amir Nafis, Esma Daniel, Abi Madyan, Hawra, Dayang Areeda, Joshua Michael, Zairi Abdul Aziz dan Meynillan.

Malam istimewa terbabit turut diserikan dengan kehadiran bintang utama versi asal Kaithi Karthi Sivakumar yang diterbangkan khas ke Kuala Lumpur untuk meraikan tayangan perdana adaptasi Malaysia berkenaan.

Terdahulu, filem Banduan pada 23 Oktober lalu telah ditayangkan di Kompleks Penjara Kajang dan disaksikan oleh 80 orang penghuni penjara.

Tayangan eksklusif tersebut bagi meraikan penghuni penjara Kajang di samping mengadakan sesi perkongsian bertajuk ‘Peluang Kedua, Masih Ada Sinar’ bersama pelakon utama.

Banduan diarahkan Kroll Azry dan diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan Kerjasama Dream Warrior Pictures serta melibatkan kerjasama daripada Astro Shaw yang bertindak sebagai rakan pemasaran dan pengedaran.