KOTA KINABALU - Bangkai seekor gajah Pygmy Borneo dilihat hanyut dipercayai dibawa arus di Sungai Kinabatangan, Kinabatangan, pada petang Rabu.
Bangkai tersebut dikatakan dilihat penduduk kira-kira jam 4.30 petang dan hanyut menuju ke kawasan Sukau.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pihaknya maklum berhubung penemuan bangkai gajah tersebut, namun kakitangan JHL Kinabatangan masih belum dapat ke lokasi pada petang semalam disebabkan kekangan logistik.
"JHL telah maklum dan kakitangan JHL Kinabatangan sedang membuat pencarian awal pagi tadi.
"Buat masa ini, saya masih belum mendapat maklumat terperinci bangkai yang ditemui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa gajah berkenaan dalam keadaan sakit sebelum ditemui mati.
"Ya, begitu maklumat daripada orang awam (dikatakan sakit), tetapi aduan tidak sampai ke JHL Kinabatangan," jelasnya lagi.
Sebelum itu, tular satu video memaparkan bangkai gajah tersebut dilihat hanyut di sungai.




