Bangkitkan Isu Najib, Tabung Haji, UM Nafi Pelajar Dikenakan Tindakan Disiplin 

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 9:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bangkitkan Isu Najib, Tabung Haji, UM Nafi Pelajar Dikenakan Tindakan Disiplin 

KUALA LUMPUR - Universiti Malaya (UM) menafikan dakwaan bahawa seorang pelajarnya dikenakan tindakan disiplin selepas video memaparkan gadis itu membangkitkan isu rasuah dan kutipan dana bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tular di media sosial.

Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof. Dr. Noor Azuan Abu Osman, berkata pihak universiti tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap pelajar wanita berkenaan.

Beliau turut menyifatkan dakwaan yang tersebar mengenai perkara tersebut sebagai tidak benar.

“Untuk makluman, tiada tindakan disiplin diambil terhadap pelajar berkenaan. Oleh itu, dakwaan yang tersebar berhubung perkara ini adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Azuan, UM sentiasa menghormati hak pelajar untuk mengutarakan persoalan dan menyampaikan pandangan, termasuk mengenai isu-isu semasa.

Katanya, sesi iFuture terbabit yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menyediakan ruang untuk pelajar berinteraksi secara langsung dengan barisan kepimpinan universiti.

“Perbezaan pandangan bukanlah sesuatu yang perlu dianggap sebagai ancaman, sebaliknya merupakan sebahagian daripada budaya intelektual yang perlu terus disemai.

“Kita mungkin tidak sependapat dalam semua perkara, namun pelajar perlu diberi ruang untuk menyuarakan pandangan dan memastikan suara mereka didengari,” katanya.

Video berkenaan mencetuskan perhatian ramai apabila pelajar wanita itu mengajukan soalan mengenai isu rasuah yang dikaitkan dengan skandal Tabung Haji, selain mempersoalkan kutipan dana bagi membantu Najib melunaskan denda  berjumlah RM50 juta.

Noor Azuan menegaskan, UM akan terus memberi penekanan terhadap usaha melahirkan graduan yang mampu berfikir secara kritis, berpegang pada prinsip dan bertanggungjawab. - Getaran, 17 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved