‘Kalau langgar akta, tangkap dan letak dalam lokap’

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 9:59 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kalau langgar akta, tangkap dan letak dalam lokap’

KLANG – Masih terdapat pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang melanggar disiplin sehingga beberapa pegawai kanan turut dikenakan tindakan sepanjang September ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, perkara itu amat mendukacitakan kerana pelanggaran disiplin masih berlaku walaupun penegasan supaya warga pasukan mematuhi peraturan telah diberikan.

Katanya, tindakan akan dibuat tanpa mengira pangkat atau kedudukan sebagai bukti pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang salah laku dalam pasukan.

“Ini sangat mendukacitakan kerana dalam tempoh September ini, kita telah membuka kertas siasatan tatatertib termasuk membabitkan pegawai kanan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan jumlah anggota atau pegawai dan jenis kesalahan yang telah dikenakan tindakan sepanjang enam bulan bertugas di pentadbiran Klang Selatan.

Katanya, pendirian beliau sejak melapor diri jelas iaitu tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku, termasuk jika membabitkan pegawai kanan.

“Kalau melanggar mana-mana akta, kita akan buat laporan polis, tangkap dan letakkan dalam lokap atau melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya melibatkan kes rasuah,” tegas.

Menurutnya, tindakan tatatertib juga boleh memberi kesan terhadap penilaian prestasi serta pergerakan gaji anggota yang terbabit.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran tegas supaya semua pegawai dan anggota tidak mengulangi kesalahan yang boleh menjejaskan imej pasukan.

“Ketegasan penyeliaan sangat penting untuk mengecilkan ruang dan peluang berlakunya salah laku dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Semua ketua polis balai perlu memantau anggota di bawah seliaan masing-masing tanpa kronisme, pilih kasih dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, pemantauan secara berterusan dan tindakan tegas tanpa mengira pangkat penting bagi memastikan integriti warga PDRM terus dipelihara serta imej pasukan terjaga. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Kalau langgar akta, tangkap dan letak dalam lokap’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved