Bangladesh mohon bantuan Malaysia bekal LNG melalui kerjasama PETRONAS

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2026 • 9:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bangladesh mohon bantuan Malaysia bekal LNG melalui kerjasama PETRONAS

PETALING JAYA: Bangladesh memohon bantuan Malaysia termasuk melalui kerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi membekalkan gas asli cecair (LNG) untuk membantu menangani cabaran bekalan gas yang sedang dihadapi negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permohonan itu disampaikan Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman dalam perbualan telefon dengan beliau yang turut menyentuh usaha memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang tenaga dan pelaburan.

Menurutnya, Bangladesh kini berdepan kekangan bekalan gas yang memerlukan sokongan segera bagi memenuhi keperluan tenaga negara berkenaan.

“Antara perkara utama yang dibangkitkan ialah cabaran bekalan gas yang sedang dihadapi Bangladesh susulan kekangan bekalan.

“Justeru, beliau memohon bantuan Malaysia termasuk melalui kerjasama dengan PETRONAS bagi membekalkan LNG untuk membantu memenuhi keperluan mendesak negara itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama ekonomi termasuk kemajuan pelaburan melibatkan Axiata serta potensi kerjasama strategik bersama MMC Port bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua negara.

“ Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan persahabatan yang telah lama terjalin dengan Bangladesh berteraskan semangat saling menghormati, kerjasama yang pragmatik serta iltizam untuk membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.- UTUSAN

The post Bangladesh mohon bantuan Malaysia bekal LNG melalui kerjasama PETRONAS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved