
PUTRAJAYA: Kerajaan memperluaskan Bantuan Am Persekolahan (BAmP) di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga miskin tegar, membabitkan peruntukan RM4.69 juta pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada lebih 31,000 pelajar Tingkatan Enam yang sebelum ini tidak menerima bantuan berkenaan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas yang diterima daripada pelajar Tingkatan Enam ketika beliau turun padang ke sekolah.
“Kita bagi wang saku RM150 kepada murid Tahun Satu sehingga Tingkatan Lima, jadi Tingkatan Enam terlepas.
“Jadi untuk murid Tingkatan Enam, kita akan berikan bantuan yang sama. Jadi selesai,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.
BAmP merupakan antara bantuan di bawah KWAPM yang diwujudkan bagi membantu murid daripada keluarga miskin dan miskin tegar meneruskan persekolahan serta mengurangkan risiko keciciran pendidikan. Selain BAmP, KWAPM turut menyediakan Bantuan Kecemasan (BK) kepada murid yang memenuhi syarat kelayakan. – UTUSAN
The post Lebih 31,000 pelajar Tingkatan Enam miskin tegar terima bantuan am persekolahan RM150 appeared first on Utusan Malaysia.






