Bangladesh pada Isnin menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan lebih ramai anggota komuniti Rohingya memasuki wilayahnya. Kenyataan ini dikeluarkan setelah sekitar 60,000 pelarian dilaporkan memasuki negara tersebut dalam tempoh dua tahun lepas.
“Kami tidak akan membenarkan lebih ramai Rohingya memasuki negara ini dalam apa jua keadaan,” kata Penasihat Hal Ehwal Dalam Negeri, Leftenan Jeneral (B) Jahangir Alam Chowdhury.
Chowdhury turut memperjelaskan kenyataan yang dibuat oleh Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri, Md. Touhid Hossain, mengenai kemasukan terbaru Rohingya ke Bangladesh. Menurut Chowdhury, sebanyak 60,000 Rohingya telah memasuki Bangladesh dalam tempoh satu setengah hingga dua tahun kebelakangan ini, berbeza dengan kenyataan Hossain sebelum ini yang menyatakan angka tersebut berlaku hanya dalam tempoh dua bulan.
Hossain mengeluarkankan kenyataannya ketika memberi taklimat kepada media di Dhaka pada Ahad selepas menghadiri mesyuarat rundingan tidak rasmi di Thailand bersama wakil dari Laos, Thailand, India, China, dan Myanmar.
Bangladesh kini menempatkan lebih 1.2 juta pelarian Rohingya di daerah Cox’s Bazar di tenggara negara itu, dengan sebahagian besarnya melarikan diri dari Myanmar pada Ogos 2017 susulan tindakan ketenteraan.
Dalam perkembangan berkaitan, puluhan organisasi Rohingya pada Isnin menyeru agar “keadilan, kesaksamaan, kedamaian bersama, dan tadbir urus inklusif” diwujudkan di negeri Rakhine, Myanmar, berikutan konflik yang semakin memuncak antara tentera junta dan Tentera Arakan.
Sebanyak 28 organisasi Rohingya mengeluarkan kenyataan bersama pada Isnin, menyeru Tentera Arakan yang kini menguasai kawasan Maungdaw dan Buthidaung di utara Rakhine supaya “menghormati dan mempertahankan hak Rohingya serta semua etnik dan agama minoriti” di negeri tersebut yang bersempadan dengan Bangladesh.
Sumber: Anadolu
The post Bangladesh tegaskan tidak akan terima lagi pelarian Rohingya appeared first on The Reporter.




