Banjir: 23,000 laporan kerosakan diterima berkaitan aset polis Kelantan

LocalPolitics
20 Dec 2024 • 9:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan menyampaikan sumbangan kepada anggota PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Jumaat. Foto Bernama

KOTA BHARU - Polis Kelantan menerima 23,000 laporan kerosakan melibatkan aset milik pasukan keselamatan akibat bencana banjir baru-baru ini, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata, kerosakan itu antaranya membabitkan kenderaan, balai dan pondok polis serta pos Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerugian dianggarkan bernilai RM2.1 juta berdasarkan penilaian oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

"Bencana banjir telah menyebabkan banyak balai polis ditenggelami seperti di daerah Pasir Mas dan Tumpat.

"Selain itu, kita turut menerima laporan tujuh kes jenayah di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan banjir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan menyerahkan sumbangan kepada warga Polis Diraja Malaysia yang terjejas.

Baginda turut berkenan mendengar taklimat ringkas berkaitan perkembangan terkini banjir oleh Mohd Yusoff. - Bernama