Banjir: Air naik mendadak, penduduk panik selamatkan diri

18 Dec 2022 • 3:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Operasi menyelamatkan mangsa dilakukan dengan pantas oleh pasukan penyelamat.

image is not available
Penduduk meredah banjir bagi menyelamatkan diri sementara menunggu pasukan keselamatan tiba.

image is not available
Seorang mangsa, Firdaus Fauzi berada di kawasan banjir yang menenggelamkan rumah hampir mencecah bumbung. Gambar kecil dari atas : Norma,Nor Shahira dan Rosilawani.

RANTAU PANJANG - Lebih 150 penduduk di Kampung Baroh Pial di sini panik menyelamatkan diri selepas rumah mereka dilanda banjir susulan hujan lebat bersama angin kencang bermula tengah malam Sabtu.

Banjir setinggi lebih semeter itu menenggelamkan rumah penduduk hanya beberapa jam bermula 4 pagi hingga menjadi seperti lautan.

Suri rumah, Nor Shahira Abdul Rahman, 23, berkata, air yang melimpah memasuki rumahnya menyebabkan dia bersama ibu bapa dan dua anak berusia tiga serta dua tahun tidak dapat tidur.

“Kami keluar dari rumah pada awal pagi tadi dengan meredah air sambil saya mendukung seorang anak, manakala seorang lagi didukung oleh bapa.

“Kami ketakutan dan kesejukan kerana air naik mendadak dan laju,” katanya ketika diselamatkan oleh anggota dan pegawai dari balai bomba Rantau Panjang di sini pada Ahad.

Seorang kerani, Rosilawani Ariffin, 40, berkata, dia tidak mengemas barang dalam rumahnya kerana tidak menjangkakan banjir akan melanda ketika ini.

“Biasanya tiga hari barulah banjir macam ini.

**media[2026497]**

“Ini baru hujan semalam saja, kami sudah terperangkap sehingga beberapa jam dan perlu meredah air untuk menyelamatkan diri ke tempat selamat di surau kampung tetapi turut ditenggelami air,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu tiga anak, Norma Mohd Nor, 31, berkata, dia baru pulang ke Rantau Panjang dari rumahnya di Kajang Selangor.

“Saya balik kampung sempena cuti sekolah bersama tiga anak berusia sembilan dan tujuh tahun serta empat bulan.

“Memang tiap-tiap tahun banjir di kawasan ini tetapi rumah saya yang terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Baroh Pial tidak dinaiki air. Kali ini, rumah dan sekolah, dua-dua tenggelam,” katanya.

**media[2026498]**

Kesemua mangsa banjir dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Baroh Pial berikutan SK Baroh Pial yang kebiasaan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) turut banjir.

Operasi menyelamat mangsa banjir dilakukan sepasukan bomba dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).