
PASIR MAS: Situasi banjir di Kelantan masih terkawal walaupun paras air di beberapa sungai utama mulai meningkat berikutan hujan lebat berterusan sejak Khamis lepas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata beberapa pegawai dan anggota dari balai bomba berdekatan turut membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dikenal pasti.
“Apabila paras air mula meningkat, kita sudah bersiap sedia iaitu aset bomba seperti bot dan lori telah mula digerakkan untuk membawa mangsa yang terjejas akibat banjir ke PPS.
“Malah, kita turut menasihati orang ramai yang berdekatan dengan risiko banjir seperti di Rantau Panjang untuk segera berpindah,“ katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan banjir di Rantau Panjang, di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika ditemui pada program Majlis Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Kota Bharu berkata pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan pencawang Tenaga Nasional Berhad ditenggelami air.
Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat 7 malam adalah sebanyak 809 orang daripada 265 keluarga ditempatkan di enam PPS membabitkan lima di Pasir Mas dan satu di Tanah Merah.
Selain itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan hanya satu sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Rantau Panjang dengan merekodkan bacaan 9.95 meter.-Bernama

