Banjir di Pahang pulih sepenuhnya

LocalEnvironment
7 Dec 2024 • 12:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota APM membantu memindahkan mangsa ketika banjir berlaku di beberapa daerah di Pahang baru-baru ini.

KUANTAN - Banjir di Pahang pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Balai Raya Bandar Baru Pertanian, Maran ditutup secara rasminya pada Sabtu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, PPS terbabit ditutup jam 12 tengah hari dan semua 13 mangsa daripada empat keluarga yang dipindahkan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Banjir kembali melanda negeri ini pada 30 November lalu dengan Raub daerah pertama terjejas diikuti Lipis, Jerantut, Maran, Temerloh dan Bera.

Secara keseluruhannya, sebanyak 33 PPS dibuka di negeri ini bagi menempatkan seramai 2,177 mangsa terjejas melibatkan 679 keluarga dari daerah terjejas.

Sebelum itu, Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir di negeri ini susulan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh pada 10 November lalu.