Banjir di Pulau Pinang, PPS dibuka

12 Nov 2022 • 8:36 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BUKIT MERTAJAM: Beberapa kawasan di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan(SPS) di negeri ini mengalami banjir kilat semalam selepas hujan lebat sejak petang.

Kawasan di sekitar SPT yang terjejas akibat banjir kilat itu ialah Alma, Bukit Mertajam, Machang Bubok, Desa Damai dan Taman Impian manakala di SPS pula ialah Ladang Valdor,Taman Pekaka serta Jawi.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Tan Cheng San berkata sehinga pukul 9 malam, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light, Perkampungan Juru di sini bagi menempatkan mangsa banjir.

“Ketika ini pihak berkuasa terlibat sedang memindahkan mangsa-mangsa banjir yang terlibat ke PPS itu dan jumlah sebenar mereka yang dipindahkan masih belum dapat diketahui,“ katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Pulau Pinang Saadon Mokhtar ketika dihubungi berkata pihaknya setakat ini menerima aduan berhubung banjit kilat di dua daerah itu.

“Sehingga pukul 8.30 malam ini banjir kilat masih lagi melanda kawasan-kawasan terlibat dan pihak bomba mengambil tindakan segera iaitu membuat pemantauan di kawasan yang dilanda banjit kilat bagi memastikan paras air tidak berbahaya. Kami juga sentiasa dalam keadaan bersiap sedia jika keadaan semakin teruk,“ katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata berdasarkan maklumat yang diterimanya, sehingga pukul 8.30 malam ini sekurang-kurangnya 23 kawasan terutama taman perumahan sekitar SPT dilanda banjir kilat.

Menurutnya kawasan yang terjejas antaranya ialah Taman Tenang Berapit, Taman Seri Janggus Machang Bubok, Desa Damai, Kampung Baru Alma,Taman Impian, Taman Sukun, Taman Mangga, Taman Sentul Kampung Dock dan Taman Sejahtera.

“Kerajaan negeri bersama pihak berkuasa sedang memantau situasi banjit kilat itu dan sekiranya hujan masih lebat sehingga jam 9 malam, tindakan susulan akan diambil segera kerana bimbang banjir menjadi semakin teruk,“ katanya sehingga 8.30 malam beberapa kawasan masih lagi hujan.

JPS, dalam kenyataan hari ini memaklumkan kawasan yang mungkin terjejas di Pulau Pinang adalah di kawasan Seberang Perai Utara, SPT dan SPS. - Bernama