
JITRA - “Tak sempat nak kemas rumah, banjir dah datang balik, kali ini paling teruk sebab empat kali ulang-alik pusat penempatan sementara (PPS),” kata mangsa banjir, Hasna Ismail, 71.

Menurut Hasna, paras air untuk bencana kali ini adalah yang tertinggi pernah dilihat, malah bahagian dalam rumah turut dimasuki air dengan lebih pantas berbanding kejadian terdahulu.
“Sekelip mata sahaja air sudah naik mencapai paras betis, mungkin kerana belakang rumah kami merupakan sungai.
“Air naik sedikit demi sedikit dengan cepat dan kami sekeluarga terpaksa mengambil keputusan untuk mengangkat barang-barang elektrik ke tempat lebih tinggi,” katanya ketika menerima pek bantuan berupa makanan dan barangan keperluan lain dari Triton Turner Club Malaysia (TTCM).

Kesemua barangan itu adalah antara sumbangan dihulurkan TTCM pada Misi Bantuan Pasca Banjir yang berlangsung di Kedah baru-baru ini.
Seorang lagi mangsa banjir, Nur Zawani Zailani, 27, berkata sejak banjir teruk melanda, dia sekeluarga masih belum dapat mengemas serta mengenal pasti jumlah kerosakan yang dialami.

“Sampai sekarang pun tak habis kemas lagi, memang penat tapi nak buat macam mana. Kali ini banjir paling teruk yang saya pernah hadapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kali ini nasib baik saya sedar air naik dan cepat-cepat minta anak-anak untuk bangun dan mengasingkan barang sebelum beredar meninggalkan rumah,” katanya sebak.

Pengerusi TTCM, Ahmad Asry Mohd Asis berkata, sebanyak 250 keluarga telah menerima kotak bantuan mengandungi barangan keperluan asas.
Katanya, misi seumpama ini penting bagi menyatakan solidariti terhadap semua mangsa yang terkesan dengan bencana selain membantu meringankan beban mereka.
“Misi ini akan kami teruskan pada awal tahun baharu nanti dan kami dijangka ke Kemaman, Terengganu bagi membantu mereka yang menerima nasib sama,” katanya. - Getaran, 27 Disember 2024




