
PUTRAJAYA - Terkesan dengan bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Kedah, Kelab Triton Turner Malaysia (TTCM) melancarkan Misi Bantuan Banjir 2024 ke Kedah dan Perlis bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang terjejas teruk akibat bencana terbabit baru-baru ini.
Misi berkenaan melibatkan 250 kotak bantuan mengandungi barangan keperluan asas yang akan dibawa bagi disumbangkan kepada penerima memerlukan.
Pengerusi TTCM, Ahmad Asri Mohd Asis berkata, misi tersebut merupakan aktiviti tahunan kelab berkenaan sejak ditubuhkan pada 2010.
“Misi kali ini membabitkan 50 Triton, yang akan berlepas dari Glenmerie, Shah Alam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dan Yayasan Zulfaqar UPNM,” katanya ketika ditemui di Majlis Flag Off Misi Bantuan di Yayasan Perdana, di sini semalam.

Ahmad Asri berkata, barang-barang yang dibawa itu merupakan sumbangan daripada ahli kelab dan orang ramai, malah sebahagian daripadanya akan turut diagihkan kepada mangsa banjir di Kelantan selepas misi ke Kedah nanti.
“Kami amat berbesar hati menerima sumbangan daripada orang ramai dan beberapa syarikat automotif.
“Sekembalinya kami dari Kedah nanti, misi ini akan diteruskan ke Pantai Timur pula,” katanya.
Tegas beliau, TTCM komited untuk meneruskan misi bantuan berkenaan pada masa akan datang jika ia terus mendapat sokongan.
“Kami melihat misi seumpama ini penting bagi menyatakan solidariti terhadap mangsa-mangsa yang terkesan dengan bencana selain membantu meringankan beban mereka,” katanya. - Getaran, 18 Disember 2024



