Banjir kilat: 325 mangsa terpaksa berpindah

15 Feb 2023 • 10:08 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasukan bomba membawa mangsa banjir di Kampung Pasir, Temoh untuk dipindahkan ke PPS. - Foto Bomba Perak

image is not available
Keadaan banjir kilat di Taman Permai Slim. - Foto Bomba Perak

image is not available
Anggota bomba membuat pemantauan keadaan banjir yang berlaku di Kampung Pasir, Temoh. - Foto Bomba Perak

IPOH - Seramai 325 penduduk daripada 92 keluarga di daerah Batang Padang dan Mualim ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir kilat yang melanda sejak Selasa.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Slim River di daerah Mualim menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 260 orang membabitkan 75 keluarga.

**media[2093467]**

Pusat berkenaan dibuka sekitar jam 12.30 malam selepas kawasan perumahan di Taman Permai Slim dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

Sebahagian mangsa terpaksa dipindahkan dengan bantuan lori manakala selebihnya berpindah sendiri.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak memaklumkan, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chenderiang menempatkan 53 orang semuanya dari Kampung Pasir, Temoh.

Menurutnya, kesemua mereka dipindahkan selepas hujan lebat berterusan menyebabkan air melimpah ke kawasan penempatan mencecah satu meter.

**media[2093468]**

"Dewan Orang Ramai Kampung Sekiah pula menempatkan 10 orang manakala Dewan Orang Ramai Kampung Samy seramai dua orang," katanya.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa menunjukkan tiada amaran ribut petir atau hujan lebat di semua daerah.