
BALING: Penduduk Kampung Iboi di sini sekali lagi dikejutkan dengan kejadian banjir kilat apabila paras air dilaporkan naik sehingga melepasi jambatan Bailey di kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Iboi Abu Hassan Samah berkata hujan lebat sejak 5 petang semalam yang berterusan kira-kira dua jam menyebabkan paras air Sungai Kupang naik.
“Banjir kilat kali ini seakan-akan sama seperti kejadian yang pertama kali berlaku di sini, cuma kesannya tidak sebesar itu.
“Ada penduduk yang sudah berpindah dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Kampung Padang Empang namun jumlah penduduk yang berpindah belum dapat dikenal pasti,“ katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata setakat 9 malam, hujan di kampung itu sudah berhenti namun dipercayai masih berlaku di kawasan Gunung Inas.
“Semua penduduk di kawasan yang rendah sudah dan sedang berpindah ke PPS kerana bimbang keadaan mungkin lebih buruk.
“Saya dimaklumkan ada kayu balak yang hanyut tetapi paras air yang tinggi dan arus deras menyebabkan tiada siapa yang dibenarkan masuk ke kawasan banjir untuk keselamatan,“ katanya.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Baling mengesahkan kejadian itu dan sedang mengumpul maklumat. - Bernama

