
BALING, 7 Sept (Bernama) — Jambatan Bailey yang menjadi laluan sementara penduduk di Kampung Iboi dekat sini mengalami kerosakan dan dilaporkan beralih kira-kira dua meter dari lokasi asal susulan banjir semalam.
Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata jambatan itu kini ditutup sementara kerana dikhuatiri tidak selamat digunakan orang ramai.
“Jambatan yang dibina dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkata Tentera Malaysia (ATM) ini dihanyutkan air deras, ia teralih daripada tapak asal, jalan tar mini di jambatan ini juga dipercayai tidak selamat untuk digunakan pada masa ini.
“Laluan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan dan pejalan kaki,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan jambatan itu di Lata Chelak, Kampung Iboi di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai khususnya yang berada di jajaran Sungai Kupang diminta sentiasa berwaspada kerana aliran deras air sungai itu menyebabkan struktur tanah menjadi lembut dan dikhuatiri boleh runtuh bila-bila masa.
“Keadaan cuaca juga masih mendung dan terdapat awan yang tebal di kawasan Gunung Inas. Jadi saya menasihatkan penduduk di kawasan Kampung Iboi dan jajaran sungai ini supaya mengambil langkah berhati-hati memandangkan apabila hujan, banjir kilat dikhuatiri berlaku di kawasan ini,” katanya.
Shamsudin berkata pihaknya turut menasihatkan penduduk yang berada di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Orang Ramai Kampung Padang Empang dan Masjid Kampung Hangus supaya terus tinggal di situ buat masa ini walaupun keadaan banjir telah surut kerana risiko hujan dan banjir masih tinggi.
Beliau kerja-kerja baik pulih masih dijalankan manakala benteng pasir di Lata Chelak yang pecah selain aliran air deras semalam menyebabkan sungai menjadi cetek.
“Kerja baik pulih dan kerja korek sungai akan mengambil masa yang akan ditentukan oleh agensi berkaitan,” katanya.
Jambatan Bailey berukuran 27 meter panjang itu siap dibina pada 9 Julai lepas selepas jambatan asal musnah akibat dihanyutkan banjir dan aliran puing pada 4 Julai lepas.
— BERNAMA
The post Jambatan Bailey Kampung Iboi Rosak, Laluan Ditutup appeared first on Siakap Keli.
