
TAWAU: Dianggarkan lebih 12 lokasi utama di daerah ini dilaporkan terjejas dalam insiden banjir kilat yang melanda Tawau susulan hujan lebat dan berterusan lewat petang Khamis sehingga tengah malam.
Antaranya, Taman Tawau Lama Jalan Pantai; Kg Vietnam Tg Batu Laut, Kg Tg Batu Keramat, Kg Saddani, Taman Bukit Bintang, Jalan Sin Onn; Lorong Gembira Taman Lee Ka, Taman Damai, Taman Setia, Lorong Chong Thien Vun, Kg Baru Batu 2, Lorong Bunga Raya dan Kg Rawa-Rawa Batu 4.
Banjir kilat yang disifatkan ramai antara paling teruk berlaku beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan beberapa jalan utama tidak boleh dilalui kenderaan kecil seperti Jalan Ching Thien Vun, Jalan Air Panas dan Jalan Takada. SEBUAH kenderaan milik orang awam ditenggelami air dalam kejadian di Tawau.
Terdapat juga kawasan yang dilaporkan paras air mencecah sehingga pinggang orang dewasa dan menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan awam, khususnya kanak-kanak dan warga emas.
Ketua polis daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Mini Al-Mukarramah Kg Batu Keramat yang dilaporkan antara yang paling teruk terjejas.
Difahamkan PPS tersebut yang dibuka sekitar jam 9 malam kini menempatkan 24 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 109 mangsa daripada kampung tersebut selepas rumah kediaman mereka dinaiki air dan semakin tinggi.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam agar tidak mengambil kesempatan melakukan jenayah dalam situasi mencemaskan seperti mencuri barangan milik orang lain kerana keadaan kelam-kabut.
Bagaimanapun, katanya, polis tidak menerima sebarang laporan berlaku kecurian atau kemalangan jiwa semasa kejadian banjir kilat tersebut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya melakukan tinjauan di 10 lokasi terjejas, termasuk Felda Umas selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
Katanya, pasukannya turut melakukan bantuan memindahkan mangsa uzur ke bahagian atas rumahnya dalam insiden di Taman Lee Ka.
Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau turut melaksanakan tinjauan dan bantuan kecemasan kepada orang awam ke kawasan selamat, termasuk membantu kenderaan yang hampir tenggelam.
Sementara itu di PAITAN, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Kecil Paitan di sini meningkat pada Jumaat berbanding Khamis sejak kejadian berlaku pada Isnin lepas.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan di sini berkata sehingga jam 4 petang pada Jumaat, seramai 182 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan 664 mangsa ditempatkan di 10 PPS di sini berbanding 101 KIR dengan 371 mangsa pada Khamis.
Tiga lagi PPS turut dibuka menjadikan 10 PPS menempatkan semua mangsa sehingga jam 4 petang Jumaat.
Tiga PPS yang baru dibuka itu adalah Sekolah Kebangsaan Lubang Buaya, Masjid Kampung Simpangan dan Dewan Kampung Sungai-Sungai, Paitan.
Sementara tujuh lagi PPS yang telah dibuka sebelum ini adalah Dewan Kampung Kubambangan, Pusat Komuniti Masyarakat Daerah Paitan, Dewan SMK Pamol, Gereja PCS Kampung Puru Batu, SK Tanjung Nipis, Masjid Binsulung dan Rumah Pengerusi JPKK Kampung Cocos.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama agensi terlibat dan wakil jabatan berkenaan membantu memindahkan mangsa dilokasi banjir dan kampung terlibat.
Di BEAUFORT, hujan berterusan di sini dan Tenom menyebabkan paras air Sungai Padas naik dan mendedahkan beberapa kawasan rendah kepada kejadian banjir kilat.
Antara kawasan itu ialah Kg Balibata, Kg Binunuk, Kg Lumatai Ulu, Kg Lumatai Laut, Kg Bakalau, Simpang 4 Chan Furniture, Kg Bingkul, Kg Melati, kuarters keretapi dan Kg Melulugus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muhammad Hasbullah Nenggok berkata beberapa batang jalan raya masih boleh dilalui semua kenderaan jenis iaitu jalan di Kg Binunuk dan Kg Bingkul.
“Bagaimanapun, jalan raya Simpang 4 Chan Furniture tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan,” katanya kepada Harian Ekspres pada Jumaat.
Beliau menambah, kawasan Kampung Bakalau turut dinaiki air dan meminta penduduk berwaspada.
“Trend air sungai dalam keadaan menaik dan Bomba menasihatkan orang ramai agar bersedia untuk berpindah jika diarahkan.
“Beberapa buah kampung akan dinaiki air yang biasanya turun ke hulu yang membabitkan beberapa kampung di Dun Klias dan Dun Lumadan,” katanya.
Setakat malam tadi, tiada mangsa dipindahkan walaupun Pusat Pemindahan Semantara telah bersiapsiaga untuk dibuka.
Beliau memberi amaran, banjir mungkin melanda di kampung-kampung dalam kawasan Dun Lumadan termasuk Kg Sungkadan, Kg Batandok Lubak, Kg Lawa, Kg Lago, Kg Suasa, Kg Kangsa, Kg Berumbai, Kg Poring Lupak, Kg Lupak, Kg Bangkalalak, Kg Tuhu, Kg Selinseng, Kg Beringin, Kg Kabajang Ulu, Kg Kukup, Kg Jabang, Kg Mentulud dan Kg Lupak Seberang.
Jalan raya Dun Lumadan yang tidak dapat dilalui ialah Jalan Kg Batandok Lubak, Jalan Kg Lawa, Jalan Kg Bangkalalak, Jalan Kg Lago dan Jalan Kg Suasa.
Bomba turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak membiarkan anak-anak kecil meredah atau berada di dalam air.
“Simpan semua dokumen penting di tempat selamat dan sila patuhi arahan untuk berpindah,” katanya.
Di LAHAD DATU, Mangsa banjir di Kampung Sepagaya dan kawasan sekitar di sini berharap kerajaan dapat mengatasi isu banjir yang menjadi mimpi ngeri mereka setiap kali musim hujan.
Salah seorang penduduk, Mohd Rais Kadir, berkata sejak Disember lalu hingga kini, kampung itu sudah lima kali dilanda banjir kilat.
Beliau berkata, banjir pada Rabu lalu adalah yang paling buruk dan menyebabkan banyak kerugian.
“Ketika banjir melanda (Rabu), kami panik kerana air tiba-tiba naik dan kami tidak dapat menyelamatkan harta benda kami. Semuanya dihanyutkan air.
“Dari Disember hingga sekarang sudah lima kali kami dilanda banjir. Ini amat membebankan dan kerajaan harus mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Tambah Mohd Rais, kerajaan perlu mengambil tindakan seperti membesarkan parit, membersihkan sungai berhampiran atau sebarang tindakan sewajarnya yang boleh mengatasi masalah itu.
Seorang lagi penduduk kampung yang juga pengusaha bakeri, Kartini Othman berkata, banjir yang melanda Rabu lalu menyebabkan beliau mengalami kerugian lebih RM50,000.
“Ketika itu saya dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan dan menerima panggilan mengenai banjir di kampung kami.
“Apabila saya tiba, semua bekalan saya untuk perniagaan bakeri seperti bahan mentah, peralatan industri telah dihanyutkan air deras dan tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, Pemaju Mukim, Zulrahman Mat Salam berkata, banjir sering melanda kampung mereka tetapi hanya sampai ke jalan raya, namun kali ini air tiba-tiba naik dan penduduk kampung tidak sempat melakukan apa-apa.
“Kita harap kerajaan akan mengutamakan penyelesaian perkara ini supaya kita tidak lagi berhadapan dengan situasi ini yang mendatangkan kerugian kepada banyak pihak,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal yang melawat kawasan banjir pada Jumaat berkata, pihaknya akan membawa perkara ini kepada jabatan berkaitan untuk penyelesaian.
Beliau berkata daripada taklimat yang diberikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam, pihaknya sudah mengenal pasti punca kejadian banjir itu.
“Kita faham beban rakyat yang menderita setiap kali banjir melanda dan kita akan cari jalan penyelesaian terbaik supaya masalah ini dapat kita atasi,” tambahnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
