
TAWAU: Seorang lelaki yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau, termasuk empat rekod dadah diberkas polis bersama lebih dua kilogram (kg) Syabu dianggarkan bernilai RM130, 000.00 dalam serbuan di kawasan Bandar Sri Indah sekitar jam 6 petang, awal minggu ini.
Ketua polis daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga tempatan berusia 53 tahun itu ditahan Selasa lepas ketika berada di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi syabu seberat 2076.66 gram,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, pada Jumaat.
Menurutnya, serbuan itu dilakukan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sabah serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau yang bertindak atas maklumat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Katanya, suspek merupakan seorang penganggur dan mempunyai empat rekod dadah dan empat rekod jenayah lampau.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.
Menurut Jasmin, polis masih menyiasat sama ada kes itu mempunyai kaitan atau rangkaian dengan sindiket dadah serta lokasi bekalan diperoleh.
“Dadah tersebut dipercayai untuk pasaran Tawau dan sekitarnya serta dianggarkan boleh dibekalkan kepada 4,000 penagih,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama serta maklumat orang awam untuk bersama-sama membanteras aktviti tersebut.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
